Orang ramai hadir membeli pelbagai barnagan keperluan asas pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara yang diadakan di Blok C dan D, PPR Kota Damansara pada 21 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNAGENSISELANGOR

Jimat belanja dapur, suri rumah bersyukur program JER diteruskan

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

PETALING JAYA, 21 OGOS : Setiap kali berkunjung ke Jualan Ehsan Rahmah (JER), seorang suri rumah mengakui teruja biarpun terpaksa beratur untuk mendapatkan barangan asas yang diinginkan.

Lee Wan Kuen, 60 berkata, setiap minggu beliau akan mendapatkan maklumat di Facebook untuk mengetahui lokasi jualan murah itu kerana tidak mahu terlepas membeli barangan keperluannya.

“Berbaloi tunggu dan beratur sekejap walaupun hujan pagi ini. Lokasi hari ini jauh sikit dengan rumah tapi saya gembira sebab anak pun sanggup bawa ke sini,” katanya.

Lee Wan Kuen,ditemui pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara di PPR Kota Damansara pada 21 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Berkongsi pendapat sama, seorang lagi suri rumah Zazuana Hamran, 36 berkata, jualan murah ini banyak membantu beliau dan suaminya berjimat untuk pembelian barangan dapur.

“Saya suri rumah, hanya suami yang berkerja, dan ada empat orang anak yang masih bersekolah. Jadi beban itu memang terasa dan jualan ini sedikit melegakan kami dalam menyediakan stok barangan asas di rumah.

“Saya bersyukur jualan ini diteruskan kerana terbukti amat membantu rakyat yang memerlukan. Saya harap ia akan berterusan dan diperluaskan,” katanya.

Zazuana Hamran, ditemui pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara di PPR Kota Damansara pada 21 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, penjawat awam, Ruzaini Izham, 27 turut berkongsi pengalaman pertamanya membeli barangan di jualan murah itu.

“Memang tahu mengenai jualan ini, tapi sebelum ini belum berkesempatan untuk datang dan membeli.

“Hari ini datang bersama kawan-kawan dan alhamdulillah, tak sangka pula boleh dapat beli barang murah dan berkualiti seperti telur saiznya besar dan  ayam pula segar. Lepas ini akan cari lagi peluang untuk berbelanja di jualan ni,” katanya.

Ruzaini Izham ditemui pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara di PPR Kota Damansara pada 21 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, wakil rakyat DUN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata pihaknya akan memastikan program JER diperluaskan ke seluruh kawasan sekali gus memastikan tiada yang tertinggal menerima manfaat tersebut.

“JER memberi impak yang sangat besar terutama kepada golongan B40. Di sini, ayam seekor dijual RM10, kalau diluar RM15 jadi ada perbezaan dari segi harga, kalau anak ramai perlukan dua ekor, jadi rakyat dapat jimat RM10 dan boleh beli sepapan lagi telur.

“Oleh itu kita harap, progam ini akan diteruskan bagi tempoh lima tahun ini dan kita akan perluaskan di kawasan lain, tidak hanya tertumpu di projek perumahan rakyat sahaja,” katanya.

ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim ditemui pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara di PPR Kota Damansara pada 21 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga Disember, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Setakat ini, JER sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai hadir membeli pelbagai barnagan keperluan asas pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Damansara yang diadakan di Blok C dan D, PPR Kota Damansara pada 21 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :