Kakitangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penerangan kepada peserta ketika Majlis Seminar Harta Pusaka sempena bulan faraid Negeri Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais kendali lebih 7,000 dokumen pengurusan harta sejak 2006

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengendali lebih 7,000 dokumen berhubung pengurusan harta sejak 2006 melibatkan 3,000 surat wasiat, 2,500 dokumen hibah dan lebih 1,500 fail harta pusaka.

Timbalan Setiausaha (Operasi) berkata Mais mempunyai kuasa selaku wasi atau pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah seperti diperuntuk di bawah subseksyen 5(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Difahamkan sejumlah RM70 bilion harta pusaka di negara ini masih beku disebabkan pelbagai faktor sehingga berlaku perbalahan dalam kalangan keluarga sekali gus menyukarkan proses tuntutan.

“Oleh itu, melalui sektor Baitulmal, Mais komited untuk memberikan perkhidmatan pengurusan harta yang berkualiti lagi bermanfaat kepada umat Islam dalam negeri ini,” ucap Norzaihan Mohd Zain pada Seminar Harta Pusaka sempena bulan Faraid Negeri Selangor hari ini.

Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Norzaihan Mohd Zain (kiri) melancarkan Seminar Harta Pusaka sempena bulan Faraid Negeri Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berharap dengan pelaksanaan bulan Faraid masyarakat Islam lebih cakna dan mempunyai ilmu dalam pengurusan harta serta mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat Islam segera melaksanakan pengurusan harta pusaka demi kepentingan hidup waris pada masa akan datang.

“Sekiranya tidak pasti dalam pengiraan, kedudukan waris-waris atau isu-isu berbangkit yang melibatkan pengurusan dan pembahagian harta pusaka, boleh merujuk ke Mais untuk maklumat lebih tepat,” katanya.


Pengarang :