Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Selat Klang di Pangsapuri Seri Perantau, Klang pada 10 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Barangan habis kurang dua jam, orang ramai harap program JER dikekalkan

KLANG, 10 SEPT: Lebih 500 ekor ayam dan 200 papan telur terjual tidak sampai dua jam dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Pangsapuri Seri Perantau, di sini hari ini.

Ahli Majlis Zon N44B Majlis Perbandaran Klang Abd Halid Ka’ab berkata turut habis ialah 200 paket beras selain barangan seperti bihun, tepung, sardin, kicap dan sos jenama Ehsan.

Ahli Majlis Zon N44B Majlis Perbandaran Klang Abd Halid Ka’ab. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita juga terpaksa hadkan pembelian ayam, beras dan telur bagi memastikan semua pengunjung dapat beli barangan ini,” katanya ditemui di lokasi jualan.

Sementara itu, pekerja pembersihan, Salmah Shafie, 70, berkata beliau hadir ke jualan murah itu bersama suami untuk membeli ayam dan beras.

“Alhamdulillah, program sebegini ini amat bagus kerana dapat jimatkan belanja. Selain anak-anak beri sedikit belanja, saya hanya bergantung dengan pendapatan kerja saya kerana suami tidak dapat bekerja sejak empat tahun lalu,” katanya.

Salmah Shafie. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI,” katanya.

Suri rumah, Zaleha Rais,73, berkata hari ini adalah kali keenam beliau berkunjung ke program JER.

“Jika berkesempatan sudah pasti saya datang dan minta anak atau tumpang jiran untuk bawa. Harga ditawarkan sangat murah dan bantu kurangkan kos dapur.

“Bagi saya, jualan ini harus diteruskan kerana ia membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.

Bagi pekerja kilang, Zulkarnain Said, 37, pula menyifatkan jualan murah itu membantu keluarga menguruskan perbelanjaan bulanan.

Zaleha Rais. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya seorang bekerja dan isteri suri rumah dan anak-anak bersekolah. Apabila ada jualan murah ini kos belanja dapur dapat dikurangkan sementara menunggu hujung bulan.

“Malah, hari ini juga dapat beli barang lain kerana PKPS ada bawa barangan tambahan seperti sotong, bihun dan tepung yang dijual pada harga agak murah berbanding pasaran luar,”katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Zulkarnain Said. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Selat Klang di Pangsapuri Seri Perantau, Klang pada 10 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Selat Klang di Pangsapuri Seri Perantau, Klang pada 10 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :