Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Bandar Baru Klang di Dataran Kiosk Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah pada 3 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanja RM30 dapat beli ayam, daging, beras

Oleh JULIANA JOHAR

KLANG, 4 SEPT: Seorang ibu tunggal bersyukur Kerajaan Negeri masih meneruskan inisiatif jualan murah barangan dapur demi meringankan beban rakyat.

Monaliza Mokhtar, 41, yang juga kakitangan swasta berkata Jualan Ehsan Rahmah (JER) amat membantunya berjimat, malah beliau membelanjakan hanya RM30 untuk membeli ayam, dagin dan beras.

Monaliza Mokhtar. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“JER membolehkan saya menguruskan kos perbelanjaan harian. Saya memang sangat berpuas hati dengan harga yang ditawarkan.

“Di mana nak dapat harga macam ini di luar sana. Kebiasaannya saya memang beli stok untuk seminggu. Diharapkan JER diteruskan demi membantu rakyat,” katanya ditemui di program JER di Dataran Kiosk Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah semalam.

Kakitangan swasta, Norzana Suis, 52, pula berkata JER membantunya berjimat perbelanjaan sebanyak 40 peratus sebulan berbanding membeli barangan keperluan asas di tempat lain.

Norzana Suis. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Saya sudah banyak kali membeli di JER sekitar Klang.  Setiap hari memang saya akan semak lokasi JER, kemudian akan berkongsi dengan jiran dan kawan-kawan lain.

“Macam hari ini saya hanya keluarkan RM50 bagi mendapatkan bekalan beras, telur, ayam dan daging. Terima kasih Kerajaan Negeri, harap inisiatif ini diteruskan sehingga bila-bila,” katanya.

Sementara itu, pesara Ismail Arnian, 70, sanggup beratur seawal jam 9 pagi bagi mendapatkan nombor giliran bersama-sama pembeli yang lain.

“Saya diberitahu kalau datang ke sini memang kena beratur panjang, maklumkan harga barang dijual murah. Sudah tentu ramai tidak mahu melepaskan peluang berbelanja.

Ismail Arnian. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Jualan murah barangan dapur memang sangat membantu sebab saya dah pencen, sumber kewangan pun terhad,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Bandar Baru Klang di Dataran Kiosk Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah pada 3 September 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :