Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat MBPG Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor Bahru pada 1 Mac 2023 selepas rumah mereka di Kampung Sentosa Damai dinaiki air. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Putrajaya salur RM521 juta bantuan banjir setiap negeri

SHAH ALAM, 18 SEPT: Sejumlah RM521 juta disalur kepada semua negeri menerusi bantuan bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 bagi membantu mangsa banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga menyalur RM9.08 juta setiap negeri bagi persediaan dan kesiapsiagaan operasi bencana.

“Peruntukan asas kita dah beri kepada Kerajaan Negeri dan negeri boleh gunalah peruntukan itu. Kalau tak cukup boleh mohon lagi kepada Nadma,” kata Datuk Armizan Ali pada sesi penggulungan di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Papar itu berkata senarai mangsa banjir tidak lagi disahkan oleh Nadma sebaliknya bawah tanggungjawab jawatan kuasa bencana daerah.

“Sebaik nama disahkan oleh bencana daerah, negeri boleh terus salurkan bantuan yang sudah diperuntukkan.

“Ini penting sebab sudah beri penurunan kuasa kepada negeri. Kita tak nak ada birokrasi, mangsa kena buat banyak lampiran. Kita nak pastikan rakyat tak disusahkan dan tak tercicir,” katanya.

Pada Jun, Timbalan Menteri Datuk Wilson Ugak memaklumkan kerajaan mengagihkan bantuan sebanyak RM963.65 juta kepada mangsa bencana yang layak bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Jumlah agihan merangkumi RM5.4 juta pada 2020, RM113.63 juta (2021) dan RM844.62 juta (2022).


Pengarang :