Pengunjung membeli barangan pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Dewan Taman Changgang Jaya, Banting pada 18 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Beras, telur dapat permintaan tinggi di jualan murah DUN Dengkil

KUALA LANGAT, 18 SEPT: Telur dan beras terus mendapat permintaan tinggi apabila barangan asas itu habis kurang dua jam pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil hari ini.

Ketua Penyelaras Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Nazif Zulkifli berkata dua barangan itu menunjukkan trend permintaan tinggi kebelakangan ini.

Ketua Penyelaras Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Nazif Zulkifli

“Sebelum ini beras tidak selaris ini, tetapi sekarang ia antara yang terlaris. Untuk kali ini kita sediakan ayam 500 ekor, beras, telur, ikan dan daging sebanyak 200 setiap satu serta minyak lima kilogram 80 botol.

“Turut disediakan pada jualan kali ini adalah produk kering keluaran PKPS seperti bihun, sos cili dan sos tiram selain makanan sejuk beku iaitu isi kerang dan sotong.

“Selain JER, pembeli juga boleh mendapatkan barang keluaran PKPS di outlet kami di Meru, Klang dan Shah Alam dengan harga murah dari pasaran,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Majlis Zon 12 Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Nor Aishah Abdul Majid

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 12 Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Nor Aishah Abdul Majid berkata kira-kira 300 pengunjung mengambil peluang membeli barangan asas pada program Kerajaan Negeri itu.

“Pemilihan lokasi penganjuran dibuat berdasarkan kawasan yang mempunyai ramai penduduk berpendapatan rendah (B40) kerana kita ingin bantu mereka mengurangkan beban perbelanjaan.

“Dijangka empat lagi jualan murah akan diadakan sekitar kawasan ini pada Oktober nanti,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :