Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan asas di lapan lokasi Sabtu, Ahad ini

SHAH ALAM, 22 DIS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke lapan lokasi pada Sabtu dan Ahad ini, mulai 10 pagi.

Pada esok, jualan murah barangan asas itu diadakan di dewan MPKK Kampung Kemensah (Hulu Kelang), Pangsapuri Seri Mawar Bandar Seri Putra (Semenyih), Kampung Jambu (Balakong) dan Dewan MBSA Pulai Seksyen 27A (Kota Kemuning).

Program diteruskan pada Ahad di pasar malam Taman Mas (Dengkil), Kampung Kebun Bunga (Batu Tiga), padang permainan Taman Wangsa Cheras (Dusun Tua) dan Surau Haji Osman Sungai Ingat (Morib).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :