Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Bukit Antarabangsa turun padang bantu penduduk daftar skim air percuma

SHAH ALAM, 22 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa membuka kaunter pendaftaran skim air percuma di pasar sekitar kawasan itu sejak tiga minggu lalu.

Wakil rakyatnya Kamri Kamaruddin berkata pihaknya turun padang di lokasi tumpuan awam bagi memastikan lebih ramai keluarga berpendapatan bawah RM5,000 menikmati manfaat Skim Air Darul Ehsan (SADE) 20 meter padu.

“Sukarelawan PKM bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) digerakkan bagi membantu orang ramai mendaftar skim ini di pasar-pasar pada hujung minggu. Setakat ini ada yang daftar tetapi sambutan masih kurang.

“Kita mahu semaksimum mungkin mendaftar skim ini kerana kita berasakan ramai lagi pengguna tidak tahu berkenaan nilaian meter termasuk had pendapatan manfaat ini telah ditingkatkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga tidak menetapkan sasaran jumlah ketua isi rumah mendaftar skim berkenaan sebaliknya menumpukan untuk mempergiat promosi inisiatif yang ditawarkan Kerajaan Selangor.

“Kita akan berbincang dengan pihak Air Selangor untuk melihat demografi penduduk kerana tidak semua layak memohon skim ini. Cuma apabila had pendapatan ditingkatkan, ia bermakna pengguna yang bakal mendapat manfaat ini juga bertambah.

“Jika sebelum ini pendaftaran automatik untuk mereka yang berpendapatan rendah (B40) tetapi sekarang kena daftar dahulu untuk melihat kelayakan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati air percuma dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Ia susulan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat itu dinaikkan kepada RM5,000 berbanding RM4,000 sebelum ini.

Air Selangor membuka pendaftaran untuk SADE sehingga 31 Disember 2024 dan antara syarat kelayakan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.

Premis kediaman pula mestilah jenis meter individu dan pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja. Untuk maklumat lanjut layari https://www.airselangor.com/residen…/skim-air-darul-ehsan/.


Pengarang :