Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyampaikan cek cura sumbangan banjir Kelantan dan Terengganu dalam Misi Bantuan Pascabanjir Mais, Agensi dan Anak Syarikat pada 19 dan 20 Januari 2024. Foto Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais sumbang RM280,000 bantu mangsa banjir Kelantan, Terengganu

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM280,000 bagi membantu penduduk di Kelantan dan Terengganu yang terjejas banjir Disember lalu.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata bantuan itu tanda solidariti di antara majlis agama Islam negeri selain menyantuni mangsa dan memenuhi maslahah ummah.

Jelasnya, sumbangan melibatkan peruntukan Baitulmal Mais, jabatan mufti, Jabatan Kehakiman Syariah, pendakwaan syariah, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan serta anak syarikat Bakti Suci Holdings Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

“Dua negeri ni masing-masing menerima bantuan berjumlah RM140,000 meliputi wang tunai sebanyak RM75,000 dan 500 pek makanan asas bernilai RM25,000.

“Bantuan turut merangkumi sumbangan wakaf fisabilillah RM40,000 bagi membaik pulih dua masjid di Kelantan dan dua di Terengganu,” katanya menerusi kenyataan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan barangan yang disumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pada majlis pelepasan konvoi Misi Prihatin Mangsa Banjir di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 8 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Awal tahun lalu, Mais menyumbang RM200,000 kepada negeri sama sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa banjir berikutan beberapa kawasan dinaiki air pada Disember 2022.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setiap negeri masing-masing menerima RM100,000 dalam bentuk wang tunai RM50,000 dan 500 pek makanan seperti beras, tepung, minyak dan gula.


Pengarang :