Penyelaras Jualan Jualan Ehsan Rahmah (JER) Muhammad Syahmi Asymawi Solahudin menunjukkan dua produk baharu jenama Ehsan iaitu serbuk minuman koko dan biskut mentega ketika ditemui di program JER peringkat Dewan Undangan Negeri Kinrara di Bandar Puchong Jaya, Subang Jaya pada 15 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

PKPS kekalkan harga barangan JER, tawar dua produk baharu jenama Ehsan

SUBANG JAYA, 15 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengekalkan harga bagi semua barangan yang ditawarkan dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada tahun ini.

Penyelarasnya Muhammad Syahmi Asymawi Solahudin berkata selain tiada kenaikan harga, pihaknya turut menawarkan serbuk minuman koko dan biskut mentega jenama Ehsan di setiap lokasi jualan.

“Kita ada serbuk minuman koko yang dijual pada harga hanya RM14 untuk satu kilogram dan biskut mentega dengan harga RM8 sekotak. Kedua-dua ini adalah produk baharu PKPS yang mula dijual hari ini.

“Kita juga masih membawa barangan lain pada kuantiti yang sama iaitu 500 ekor ayam, daging dan ikan 200 pek, 300 papan telur dan pek beras,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri Kinrara, Bandar Puchong Jaya di sini, hari ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan pada harga murah di program Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri Kinrara di Bandar Puchong Jaya, Subang Jaya pada 15 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasaraya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :