EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menunjukkan jagung yang boleh dituai ketika Majlis Penuaian Jagung Bijirin Komersial PKPS di Kuala Langat Selatan pada 21 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS tambah jenis produk JER, sasar nilai jualan RM60 juta tahun ini

KUALA LANGAT, 21 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan perolehan nilai Jualan Ehsan Rakyat (JER) minimum RM60 juta pada tahun ini susulan pertambahan jenis produk.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jumlah tersebut termasuk subsidi RM10 juta yang ditanggung Kerajaan Negeri untuk meringankan beban rakyat.

“Alhamdulillah, tahun lepas PKPS memperoleh nilai jualan sejumlah RM48.5 juta termasuk subsidi. Pada tahun ini dengan adanya pertambahan jenis produk, kita sasar nilai jualan minimum RM60 juta.

“PKPS juga bercadang menambah lori secara berperingkat bagi membawa lebih banyak barangan jualan murah. Kita juga menyambut baik kerjasama diberi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi meneruskan JER,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Tuaian Pertama Jagung Bijirin Komersial PKPS yang dirasmikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim di ladang jagung Kuala Langat Selatan di sini hari ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan pasar raya Segi Fresh pada Julai tahun lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Agensi itu pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER selain diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :