SHAH ALAM, 2 FEB: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menjual barangan asas pada harga murah menemui orang ramai di empat lokasi esok mulai jam 10 pagi.
Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan di Kampung Olak Lempik (Sungai Pelek); Masjid Al-Istiqamah Batu 13 (Seri Serdang); Selayang Baru (Sungai Tua) dan Jalan Ramal 2, Taman Ramal Indah Fasa 3 (Sungai Ramal).
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.
Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.