Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Taman Sri Bayu, Ampang Jaya pada 17 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lapan lokasi Jualan Ehsan Rahmah termasuk pasar raya Segi Fresh pagi ini

SHAH ALAM, 24 MAC: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan di tiga lokasi hari ini, mulai 9 pagi.

Jualan murah barangan asas itu diadakan di gelanggang bola keranjang wawasan Puchong (Kinrara), pekarangan Masjid Kampung Pendamar (Pelabuhan Klang) dan pekarangan Surau Darul Hidayah Seksyen 7 (Kota Damansara).

Selain tiga lokasi tersebut, PKPS turut bekerjasama dengan Segi Fresh untuk mengadakan JER di pasar raya cawangan Taman Amaniah Batu Caves, Sri Muda, Jeram, Bandar Mahkota Banting dan Awani Bangi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Jualan murah itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Pada tahun lalu, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :