Sebahagian pegamal media berkumpul dan memegang plakad sebagai tanda solidariti kepada wartawan dan jurufoto yang terkorban di Gaza sempena Himpunan #SavePress4Gaza Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAGLOBAL

Tiga lagi wartawan terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

ISTANBUL, 23 MAC: Tiga lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan terbaru Israel di Semenanjung Gaza semalam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 136 orang sejak 7 Okt 2023, menurut pejabat media di wilayah itu.

Agensi Anadolu melaporkan kenyataan pejabat media yang mengenal pasti wartawan yang terbunuh itu sebagai Muhammad Al-Rifi, Abdul Rahman Saima dan Mahmoud Imad Iss.

Dalam kenyataan sebelum ini, pejabat itu berkata “Israel sengaja membunuh wartawan di Gaza untuk menutup suara rakyat Palestin, menyembunyikan fakta dan menghalang maklumat daripada sampai kepada masyarakat serantau dan antarabangsa”,

Serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt telah membunuh lebih 32,000 rakyat Palestin kebanyakan adalah wanita dan kanak-kanak, mencederakan kira-kira 74,300 orang selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran, perpindahan dan kekurangan barang keperluan.

Perang Israel telah mendorong sebahagian besar penduduk wilayah itu ke dalam perpindahan dalaman, dengan kebanyakan infrastruktur wilayah itu telah rosak dan musnah.

Israel didakwa melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang dalam keputusan sementara pada Januari, mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

-BERNAMA-ANADOLU

 


Pengarang :