Seorang guru memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bersama pelajar pada sesi persekolahan 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu pada 9 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengambilan calon guru diperluas kepada lepasan STPM, STAM, matrikulasi

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil inisiatif memperluas pengambilan calon guru tajaan kementerian itu bagi mengikuti latihan praperkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) mulai ambilan tahun ini.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia diperluaskan kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan program Matrikulasi.

KPM menyebut ini bagi membuka peluang kepada lebih ramai calon yang berminat menjadi guru untuk memohon kemasukan ke program PISMP.

Selain itu ia juga dapat memastikan calon terbaik dipilih bagi mengikuti program itu.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan KPM dalam menangani isu kekurangan guru selain memastikan kualiti calon guru terbaik yang dapat menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut calon yang terpilih akan dilatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam pelbagai bidang pengkhususan untuk tempoh kursus selama empat tahun.

-BERNAMA


Pengarang :