Letusan api bersama asap tebal jelas dapat dilihat berikutan tempat simpanan sisa bahan kimia berjadual di Cenviro Sdn Bhd (Pusat Kualiti Alam) di Ladang Tanah Merah A3 Division, Bukit Pelanduk, Port Dickson dilaporkan terbakar pada 12 April 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gudang sisa bahan kimia di Port Dickson musnah terbakar

SEREMBAN, 13 APRIL: Sebuah gudang sisa bahan kimia berjadual milik Cenviro Sdn Bhd di Ladang Tanah Merah A3 Division, Bukit Pelanduk, Port Dickson musnah dalam kebakaran petang semalam.

Penolong Penguatkuasa Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Muhammad Syazwan Tajuddin berkata gudang di Pusat Kualiti Alam tersebut berkeluasan 100×100 kaki persegi itu musnah sama sekali.

“Pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 6 petang tadi, empat pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Seremban 2, Seremban dan Rantau digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan 66 anggota.

“Kebakaran dapat di kawal jam 8.30 malam dan ketika ini kerja-kerja memadamkan kebakaran masih dijalankan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Tinjauan Bernama mendapati kebakaran itu menyebabkan asap hitam dan tebal kelihatan pada petang tadi namun pihak media tidak dibenarkan berada berdekatan di kawasan tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :