SHAH ALAM, 18 APRIL: Dato’ Menteri Besar bersama beberapa EXCO Kerajaan Negeri bakal membuat penampilan dalam telefilem Ayah Panggil Balik yang ditayangkan malam esok.
Dato’ Seri Amirudin Shari memegang watak penting sebagai Tuan Kamil di samping beberapa pelakon terkenal seperti Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud dan Syafie Naswip.
Selain konflik keluarga, drama yang ditayangkan di saluran TV2 pada jam 9 malam turut menyelitkan skim Iltizam Selangor Penyayang (ISP) untuk manfaat rakyat dan menekankan perpaduan serta keharmonian.
Antara EXCO yang turut tampil pada tayangan khas Aidilfitri itu ialah Borhan Aman Shah, Dato’ Ng Suee Lim dan V Papparaidu.
Telefilem itu turut mempromosi Inisiatif Roda Darul Ehsan, Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor serta bantuan perumahan.
Ayah Panggil Balik mengisahkan konflik dihadapi keluarga Cikgu Zainal (Zaidi Omar) hingga terpaksa menghalau dua anaknya Fendi dan Husna (Syafie dan Amira Drummer) dari kampung.
Bagaimanapun, kehadiran Tuan Kamil membantu dua beradik itu hingga berjaya hidup di bandar, sekali gus merapatkan kembali silaturahim.
Telefilem yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Langat dan Shah Alam ini juga akan ditayang di platform Media Selangor.