Keadaan rumah yang dinaiki air susulan banjir kilat ketika tinjauan di sekitar Kampung Melayu Subang pada 17 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 600 mangsa bah Selangor masih berlindung di PPS takat 8 pagi

SHAH ALAM, 18 APRIL: Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat sedikit kepada 663 orang di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini berbanding 614 orang malam tadi.

Kemas kini laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah itu, 356 mangsa daripada 87 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak manakala 54 orang membabitkan 15 keluarga berlindung di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor.

Sementara itu sebuah lagi PPS di SK Sungai Binjai, Klang menempatkan 253 orang daripada 73 keluarga.

Dalam perkembangan lain di Negeri Sembilan, dua PPS iaitu Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson dibuka menempatkan 58 orang daripada enam keluarga manakala sembilan orang membabitkan dua keluarga masih berlindung di Balai Raya Kampung Linggi.

Terdapat satu PPS turut diaktifkan di Rembau iaitu di Surau Kampung Nerambai Lubok China yang menempatkan lapan orang daripada tiga keluarga.

Di Melaka 33 orang daripada lapan keluarga masih ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai, Alor Gajah.


Pengarang :