SHAH ALAM, 9JUN: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke empat lokasi esok.
Bermula 10 pagi ini, Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di pekarangan Masjid Al-Bakri Seksyen 34 (Kota Kemuning), Kabin KRT di padang bola ABC SS 5D/2 Kelana Jaya (Seri Setia), Bandar Rinching Seksyen 2 (Semenyih) dan dataran luar Masjid Ar-Rahmah Kampung RTB Bukit Changgang (Dengkil).
Program diteruskan esok di Surau Ar-Raudhah Pangsapuri Arista Bandar Parklands (Pelabuhan Klang), Dewan Seri Nakhoda (Sungai Air Tawar), Surau Haji Mat Som (Meru) dan berhampiran Kedai Nasi Kandar Imran Subang Bestari (Kota Damansara).
Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.