Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Taman Dato’ Bandar, Klang pada 16 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dapatkan barangan dapur murah, kunjungi JER di empat lokasi hari ini

SHAH ALAM, 30 JUN: Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan asas murah dengan mengunjungi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di empat lokasi hari ini.

Bermula 10 pagi, jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Bukit Gasing) dan Blok 1, Pangsapuri Teratai, Taman Bukit Subang (Kota Anggerik).

Jualan sama turut diadakan di Dewan Balai Lintang Surau Ikhlasiah (Seri Setia) dan Dewan Komuniti Seksyen 4 (Kota Damansara).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :