Pengunjung memilih barangan asas ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidilfitri DUN Sungai Tua di Gua Damai Extreme Park, Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves pada 7 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Jualan mega Aidiladha manfaat rakyat Selangor, mudah peroleh keperluan raya

SHAH ALAM, 13 JUN: Jelajah Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidiladha yang dianjur esok dan Sabtu ini memudahkan penduduk mendapatkan keperluan raya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu adalah sebahagian Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dalam agenda menjaga kebajikan rakyat secara holistik.

“Setiap kali musim perayaan, inisiatif ini memang ditunggu ramai. Sepertimana kita buat ketika Aidilfitri, Kerajaan Negeri berhasrat menganjur JER Mega Aidiladha.

“Kebiasaannya JER Mega akan diadakan pada hujung minggu terakhir sebelum perayaan tersebut. Maklumat terkini boleh didapati di semua platform rasmi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Jualan berskala besar itu dianjur di enam lokasi pada Jumaat dan Sabtu ini, bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

PKPS memaklumkan jualan esok diadakan di dataran Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan (Pandan Indah), dataran Pantai Batu Laut (Tanjong Sepat) dan pekarangan kompleks penghulu mukim Hulu Langat (Dusun Tua).

Pada Sabtu ia diadakan di laman boungainvillea Kampung Sungai Kertas Batu Caves (Sungai Tua), tapak pasar malam Taman Kem (Pelabuhan Klang) dan pekarangan pusat khidmat masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu.

Sempena Aidilfitri April lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan jualan mega di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah berbelanja keperluan raya.

Lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras dijual pada harga subsidi melibatkan peruntukan RM296,439.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sepanjang tahun ini, JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :