AGENDAJENAYAH

Kes lori kargo lolos pemeriksaan, anggota kastam KLIA dituduh terima rasuah

KUANTAN, 5 JUN: Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM3,200.

Solehuddin Isa, 37, yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa menerima rasuah antara RM300 hingga RM2,000 daripada pemilik Kalos Enterprise J. Jehatis sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori milik syarikat itu yang membawa keluar barang dari kargo di KLIA.

Lelaki itu didakwa menerima suapan berkenaan antara 31 Julai 2018 hingga 11 Sept 2022 melalui pemindahan dalam talian daripada Jehatis ke akaunnya di Maybank cawangan Temerloh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Afif Ali mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Mohd Nazri Yahya dan Mohd Faiz Omar yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah berikutan kedudukan kewangan anak guam mereka selain dia perlu menyara isteri dan enam anak berusia tiga bulan hingga 10 tahun.

Hakim Mohd Sabri Ismail menetapkan jaminan RM10,000 terhadap Solehuddin dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Julai depan untuk tarikh penyerahan dokumen dan urusan kes.

— BERNAMA


Pengarang :