Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni menyampaikan kuliah dhuha dalam program Talaqqi Kitab Turath Islami Siri Talaqi Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif Al Mirjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 27 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Orang muda teruja kupasan kitab Imam Al-Ghazali, saran anjur kuliah bulanan

SHAH ALAM, 28 JUN: Peserta program Talaqqi Kitab Turath Islami memuji penyampaian tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni yang jelas dan mudah difahami.

Pelajar Universiti Al-Azhar Nur Husnie Al Bahrie Ahmad Daud, 23, menyifatkan penyampaian bersahaja Baba Ismail memberi ruang kepadanya memahami kupasan karya agung Imam Al-Ghazali dengan lebih mendalam.

Nur Husnie Al Bahrie Ahmad Daud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya kini berada dalam cuti semester dan mengetahui program ini selepas melihat promosi melalui media sosial.

“Jadi saya terus hadir ke masjid negeri bagi mengikuti kuliah dhuha pagi ini. Alhamdulillah, banyak ilmu baharu saya perolehi,” katanya ketika ditemui selepas kuliah.

Program Talaqqi Kitab Turath Islami bagi mengupas karya agung Imam Al-Ghazali

berlangsung pada 24, 25 dan 27 Jun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Seorang lagi peserta, Muhammad Khairul Anwar, 36, mahu kuliah talaqqi kitab dianjur dengan lebih kerap untuk memberi ruang kepada orang ramai menuntut ilmu agama dengan tokoh ulama.

“Saya cadang pada setiap bulan sekali pada hujung minggu dianjurkan program seperti kuliah agama ini supaya memberi peluang lebih ramai umat Islam meraih ilmu bermanfaat.

Muhammad Khairul Anwar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ia akan memberi ruang buat mereka yang mempunyai kekangan masa disebabkan komitmen bekerja pada hari biasa,” katanya.

Siri program mengupas kitab itu anjuran bersama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Pejabat Dato’ Menteri Besar, Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath dan masjid negeri.

Program tersebut merupakan kesinambungan daripada Festival Turath Islami Selangor bagi tahun kedua yang diadakan pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas.

Acara untuk memartabat syiar Islam dan menyebar warisan keilmuan Islam itu menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang mengupas Kitab Hadis 40 Imam Nawawi.

Berlangsung di masjid negeri, festival itu turut megadakan Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.


Pengarang :