Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan persidangan secara maya bersama syarikat gergasi teknologi Alphabet dan Google pada 6 Mei 2024. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor lokasi pelaburan Google, labur RM9.4 bilion, cipta 26,500 peluang kerja

SHAH ALAM, 1 JUN: Sebanyak 26,500 peluang pekerjaan bakal disediakan menerusi pelaburan syarikat gergasi teknologi Google di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pelaburan RM9.4 bilion di Elmina Business Park, Sungai Buloh itu juga akan membawa manfaat ekonomi dan merangsang perniagaan tempatan.

“Google mengumumkan pelaburan RM9.4 bilion untuk pusat data dan wilayah Google Cloud pertama di Malaysia.

“Lokasi dipilih adalah di Selangor, Alhamdulillah,” kata Amirudin menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaburan Google dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor dalam Malaysia.

Katanya, ia termasuk dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan, dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).

“Pelaburan RM9.4 bilion di Malaysia itu akan memajukan dengan ketara cita-cita digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya dalam kenyataan.

Pelaburan itu susulan perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet Inc (Alphabet), yang juga Ketua Pegawai Kewangan Google, Ruth Porat.

Memorandum Persefahaman turut ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Google pada 14 November 2023.


Pengarang :