Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 19 Jun 2024. Foto Facebook Bernama Radio
AGENDANASIONAL

Speaker Kelantan sahkan kerusi DUN Nenggiri kosong

KOTA BHARU, 19 JUN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri disahkan kosong bermula hari ini, kata Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Beliau berkata selain itu parti Bersatu pada 12 Jun lepas juga memaklumkan Mohd Azizi telah hilang keahlian, dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka pada kerusi berkenaan.

“Oleh yang demikian, saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri yang diwakili Mohd Azizi,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Kompleks Kota DarulNaim, di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menerima notis kekosongan.

Mohd Amar berkata perkara itu turut melibatkan perkembangan isu kerusi DUN Neggiri selepas Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini mengikrar sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bidang kuasanya sebagai Speaker hanya mengisytiharkan kekosongan, dan SPR akan menentukan tarikh pilihan raya kecil nanti, dan kerusi DUN itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis kekosongan.

Sebelum ini media melaporkan enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) serta ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

– BERNAMA


Pengarang :