Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir untuk membeli barang keperluan pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di JMB Pangsapuri Andorra pada 20 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kunjungi jualan murah di Kinrara, Pandamaran, Sijangkang, Dengkil hari ini

SHAH ALAM, 1 JUL: Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan asas murah dengan mengunjungi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di empat lokasi hari ini.

Bermula 10 pagi, jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan di Dapur Kinrara, Jalan Puchong, Bandar Puchong Jaya (Kinrara) dan di Dewan Kampung Ahmad Razali (Dengkil).

Jualan sama turut dijadual berlangsung di Dataran PDT Klang (Pandamaran) dan di Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Sepakat (Sijangkang).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :