Atlet serta pegawai Selangor menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen ketika Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Paduan, Petra Jaya pada 24 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Olahraga, renang, bola sepak medan Selangor kumpul emas SUKMA

Rangkuman Selangor SUKMA 2024

Renang

Kem renang muncul penyumbang pingat terbanyak buat Selangor dengan 13 emas, 19 perak, tujuh gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 39 pingat.

Secara keseluruhan, Selangor menduduki tempat ketiga tertinggi pingat emas di belakang Wilayah Persekutuan dan tuan rumah Sarawak.

Wilayah Persekutuan juara acara renang merekod 19 pingat emas, 12 perak dan 11 gangsa mengumpul 42 pingat secara keseluruhan manakala Sarawak pula 18 pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Jaguh renang Selangor, Andrew Goh yang turut dinobat atlet lelaki terbaik Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 mengakhiri aksi renang dengan cemerlang apabila meraih lima pingat emas selain memperbaharui tiga rekod kebangsaan dan lima rekod temasya.

Pencapaian itu menjadikannya jaguh renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Pasukan renang Selangor dibarisi Khar Chuan Teoh (kanan, belakang), Andrew Goh Zheng Yen (kiri, belakang), Shun Qi Lim (dua, kanan, hadapan), Zi Xian Khew (kiri, hadapan) meraih emas acara 4×100 meter (m) rampaian campuran di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada 20 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Atlet berusia 20 tahun itu memecahkan dua rekod kebangsaan dan temasya sebanyak dua kali untuk meraih pingat emas acara 50m kuak dada lelaki, beliau memecah rekod kebangsaan dan SUKMA miliknya untuk meraih emas acara 100m kuak dada.

Beliau turut memenangi pingat emas acara 200m kuak dada dengan rekod baharu SUKMA di samping dua pingat emas dalam acara 200m rampaian individu dan 4×100 rampaian campuran.

Beliau bergandingan dengan Teoh Kar Chuan, Jayden Goh Li Jie dan Loke Yew Jien menyambar pingat emas acara 4x100m rampaian lelaki dengan catatan masa baharu 3 minit 49.12 saat (s).

Catatan berkenaan memadamkan rekod lama milik kuartet Selangor 3:49.98s dilakukan pada edisi 2016.

Perenang Selangor Lim Shun Qi menyumbang emas acara 200 meter kupu-kupu individu pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Perenang wanita Lim Shun Qi menyumbang empat emas melalui acara 100m dan 200m gaya kuak kupu-kupu selain kuartet 4x100m dan 4x200m gaya bebas wanita.

Dua emas lain dikutip melalui Khew Zi Xian pada acara 100m gaya bebas wanita, Jayden Goh Li Jie (200m gaya kuak kupu-kupu lelaki).

Kuartet 4x200m gaya bebas lelaki diwakili Henry Goh Li Hen, Aslan Adnan, Loke Yew Jien dan Jayden Goh Li Jie serta 4x100m rampaian berganti-ganti lelaki dibarisi Teoh Kar Chuan, Andrew Goh Zheng Yen, Jayden Goh Li Jie dan Loke Yew Jien melengkapkan koleksi pingat emas buat akuatik renang.

Untuk pingat perak pula, Henry Goh Li Hen menjadi penyumbang terbanyak dengan lima pingat menerusi acara 400m, 200m rampaian perseorangan lelaki, 1500m gaya bebas lelaki, 200m gaya kuak kupu-kupu lelaki dan 400m gaya bebas lelaki.

Jayden Goh Li Jie raih tiga pingat perak pada acara 100m, 200m gaya bebas lelaki dan 100m gaya kuak kupu-kupu lelaki.

Khew Zi Xian turut memenangi tempat kedua acara 200m, 400m gaya bebas wanita selain Teoh Kar Chuan (50m, 100m gaya kuak lentang lelaki), Yoong Jia Jia (400m rampaian perseorangan wanita), Lim Shun Qi (50m gaya kuak kupu-kupu wanita), Shannon Tan Yang Qing (800m gaya bebas wanita), Mishya Khor Yue Lynn (200m gaya kuak kupu-kupu wanita), Morgan Eleven Teo Kai Cheng (100m gaya kuak kupu-kupu wanita).

Kuartet 4x100m gaya bebas lelaki dan 4x100m rampaian berganti-ganti wanita turut meraih pingat perak.

Tujuh pingat gangsa dimenangi Low Ee Mang merangkumi acara 50m, 200m gaya kuak dada wanita manakala Henry Goh Li Hen (200m gaya bebas lelaki), Khoo Sue Enn (100m gaya kuak dada wanita), Aslan Adnan (200m gaya kuak lentang lelaki), Loke Yiew Jien (100m gaya bebas lelaki) dan Jayden Goh Lie Jie (800m gaya bebas lelaki).

 

Olahraga

 

Pasukan olahraga Selangor mengharumkan nama negeri apabila mengungguli beberapa acara di Stadium Sarawak, Petra Jaya dengan tuaian lapan emas, lima perak dan empat gangsa.

Untuk rekod temasya kali ini, Johor menduduki tempat pertama dengan catatan sembilan pingat emas, lima perak dan sembilan gangsa.

Tempat ketiga milik Wilayah Persekutuan yang meraih enam emas, enam perak dan dua gangsa.

Pelari jarak jauh Esther Joy Hong Li Chen memenangi tiga pingat, sekali gus menyaksikan beliau muncul atlet yang mengumpul emas terbanyak.

Pelari jarak jauh Selangor Esther Joy Hong Li Chen. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Atlet berusia 21 tahun itu membolot kesemua pingat yang dimenangi pada acara 5,000m wanita, 3,000m lari berhalangan dan 10,000m.

Pelari pecut Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal mencipta sensasi apabila meraih kejayaan berganda dalam acara 100m dan 200m.

Nur Afrina turut meleburkan dua rekod temasya menerusi catatan masa 11.64 saat (100m) perbaiki rekod dicipta Siti Fatimah Mohamad dari Johor yang membuat 11.82s ketika edisi 2008 di Terengganu.

Bagi acara 200m atlet berusia 19 tahun itu merakam 23.89s memecahkan rekod dicipta pelari Perak Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri dengan 24.31s ketika edisi 2016 di Sarawak.

Atlet Selangor turut meraih pingat emas menerusi Yee Teng Lie dalam acara 100 meter (m) lari berpagar wanita.

Kuartet Selangor mengungguli kedua-dua kategori acara berganti 4x100m.

Kuartet lelaki Selangor yang dibarisi Ahmad Sufi Mohd Faiesal, Danish Irfan Tamrin, Muhammad Haziq Mohamad Akhir dan Adam Hakim Samsuddin menamatkan saingan dengan catatan masa 40.86s

Pelari pecut Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal meraikan kejayaan selepas memecahkan rekod temasya Sukan Malaysia (SUKMA) acara 200 meter di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 20 Ogos 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

Bagi kategori wanita pula, kuartet 4X100 Selangor yang dibarisi Dhanea Marsyella Eehsan Faez Sivam, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Aina Batrisyia Abdullah dan Yee Teng Lie mendominasi acara tersebut menamatkan larian dengan catatan masa 47.97s.

Pingat perak pula dimenangi Jing Yi Tan menerusi acara rejam lembing lelaki, Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi dalam acara lompat kijang lelaki, Danish Irfan Tamrin (100m lelaki), Muhammad Arif Najdat (Deklaton lelaki) dan Mathan Raj Gunasagaran (3,000m lari berhalangan).

Tiga pingat gangsa melalui Teban Raj Chander pada acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki, Sasha Alyssa Philip (lempar caker wanita) dan Taarini Chandramohan (1,500m wanita).

Kuartet 4x400m lari berganti-ganti wanita turut memenangi tempat ketiga yang diwakili Aina Batrisyia Abdullah, Nicole Jia Xin Lai, Raja Nur Ain Raja Muhammad Badiuzzaman dan Nur Afrina.

 

Bola Keranjang

 

Pasukan kontinjen Selangor menyapu bersih pingat emas acara bola keranjang bagi semua kategori di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Pasukan bola keranjang Selangor berjaya memenangi kesemua pingat emas yang ditawarkan dalam acara sukan ini melibatkan kategori bola keranjang 5 on 5 lelaki dan wanita serta bola keranjang 3 on 3 lelaki dan wanita.

Pada hari terakhir pertandingan bola keranjang bagi kategori 3 on 3 lelaki kontinjen Selangor berjaya menewaskan Johor untuk memenangi pingat emas dengan skor 21-8 dengan perlawanan berbaki lebih dua minit.

Pasukan bola keranjang 3 on 3 wanita Selangor turut berjaya menewaskan Johor dengan skor 21-11 dengan perlawanan berbaki lebih seminit.

Kategori 5 on 5 kategori lelaki pula menyaksikan Selangor menundukkan Johor melalui skor 73-70 manakala kategori wanita turut mengenepikan cabaran dari Johor dengan skor 102-51.

Rekod pungutan pingat meletakkan Selangor juara acara bola keranjang secara keseluruhan sebanyak empat pingat emas manakala naib johan Johor (4 perak) dan tempat ketiga Negeri Sembilan (2 gangsa).

 

Futsal

 

Skuad futsal Selangor mencipta sejarah selepas membawa pulang pingat emas menewaskan tuan rumah 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan pada 23 Ogos.

Kejayaan tersebut menamatkan penantian 13 tahun Selangor untuk meraih pingat emas dimana sukan futsal mula dipertandingkan pada edisi 2011.

Pasukan Selangor melawan Johor pada aksi kumpulan B acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di Stadium Tertutup Kota Samarahan pada 13 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor

Selangor mengejutkan tuan rumah dengan menyumbat gol pembukaan pada minit pertama melalui penyerang Zulkifli Abu Hassan Zali.

Rembatan Muhamad Syauki Ahmad Puad untuk gol kedua Selangor mengesahkan pingat emas menjadi milik skuad kendalian Qusmaini Rusli.

Untuk rekod, kali terakhir acara futsal dipertandingkan pada SUKMA 2018 di Perak.

 

Bola sepak wanita

 

Pasukan bola sepak wanita Selangor muncul juara acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan menewaskan Sabah 3-1 di Stadium Negeri, pada 23 Ogos.

Kejayaan anak buah Osmera Omaro itu memastikan sejarah baharu buat arena bola sepak Selangor memandangkan ini adalah penganjuran sulung bola sepak wanita di pentas SUKMA.

Sabah membuka tirai jaringan melalui tandukan penyerang Fleyvianniezie Ishak di minit ke-10 dengan menyambut sepakan penjuru Waitie Taming.

Tujuh minit kemudian, penyerang Nur Adrienna Zamzaihiri menyamakan kedudukan buat Selangor selepas melengkapkan sepakan jarak dekat melalui hantaran Nurin Umairah Abdul Manan.

Selangor berjaya mencetak jaringan kedua menerusi Nurin Umairah pada minit ke-48 dan Ayuna Anjani Lamsin menjadikan kedudukan 3-1 ketika permainan memasuki minit ke-53.

 

Sebahagian aksi Selangor ketika menentang Wilayah Persekutuan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B saingan bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di Padang D, Petra Jaya pada 14 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
Pemain bola sepak wanita Selangor meraih pingat emas dalam perlawanan akhir bola sepak wanita Selangor melawan Sabah ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024.Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :