Pengarah Urusan Kumpulan HCK Capital Group Berhad Datuk Dr Dennis Ling (lima kanan) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Md Kamarzan Md Rais (empat kanan) ketika majlis pecah tanah e.Sentral – Pembangunan Bandar Pintar di e.Sentral Property Gallery Shah Alam pada 15 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDANASIONAL

PKNS kerjasama dengan HCK bangun bandar pintar, rendah karbon

PETALING JAYA, 15 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bekerjasama dengan pemaju HCK Capital Group Berhad (HCK) membangunkan bandar pintar dalam usaha memperkasa bandar raya rendah karbon.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Ir Md Kamarzan Md Rais berkata bandar pintar di Subang Perdana itu dibangunkan di atas tanah seluas 10 ekar berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Ini julung kali PKNS bekerjasama dengan HCK dan merupakan bandar pintar pertama mereka. Menerusi kerjasama ini, PKNS mempunyai 30 peratus kepentingan dalam projek dan pembangunan bakal dilaksana mengikut perancangan yang dipersetujui bersama.

“PKNS sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pemaju lain dalam membangunkan bandar pintar lain yang lengkap dengan pelbagai kemudahan,” katanya ditemui selepas majlis pecah tanah di Galeri Hartanah e-Sentral di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan HCK Datuk Dr Dennis Ling menjelaskan bandar pintar yang dibahagi kepada dua fasa itu dibangunkan bermula bulan depan.

Katanya, projek terbaharu itu akan menjadi mercu tanda bagi pasaran hartanah yang mengetengahkan konsep bandar pintar dengan unsur alam semula jadi dengan teknologi yang wujud.

“Pemilihan Subang Perdana adalah kerana kawasannya yang strategik bersebelahan dengan hutan. Dengan pembangunan bandar pintar ini, ia sebahagian perancangan ke arah bandar rendah karbon.

“Kita tawarkan 3,000 unit bagi kedua-dua fasa dengan tawaran harga RM300,000 hingga RM550,000. Fasa pertama mula dibangunkan bulan depan dan keseluruhan projek dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun setengah,” katanya.

 


Pengarang :