Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menandatangan plak perasmian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2024 peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, Ampang pada 10 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor laksana transformasi sektor air, jamin bekalan lestari, mampan

AMPANG JAYA, 10 OGOS: Usaha memperkukuh kelestarian sumber air mentah negeri meliputi segenap aspek demi memastikan bekalan air terjamin dan selamat kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan transformasi sektor air negeri merangkumi pengukuhan undang-undang, sumber air baharu, pewartaan simpanan air mentah serta memanfaatkan teknologi pintar.

“Selangor juga melaksanakan pelbagai program demi memastikan bekalan air yang lestari dan mampan. Sebab itu, bila tiba musim kering, simpanan air bertahan antara enam hingga sembilan bulan. Negeri ada simpanan di luar sungai yang digerakkan usahanya sejak 2013.

“Kini kita kembangkan simpanan itu dengan mengenal pasti 100 kolam sumber air alternatif dengan 20 daripadanya sudah diwartakan sebagai zon perlindungan. Baki 80 lagi akan diwarta dari semasa ke semasa.

“Dengan ini kita akan mempunyai satu pelan sehingga 2050 nanti untuk mempunyai bekalan air mentah yang cukup,” katanya ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2024 Peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, hari ini.

Mengulas lanjut katanya aspek pengukuhan undang-undang dengan meningkatkan denda kepada RM1 juta kepada pencemar air serta pengenalan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) bukti komitmen Selangor menjaga kelestarian air.

“Kita juga melaksanakan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) merangkumi pelbagai projek termasuk pam untuk menyalurkan air segera. Dengannya kita jangka 80 hingga 90 peratus isu pencemaran dapat ditangani.

“Usaha lain termasuk mencari sumber bekalan air baharu yang mana menerusi pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau kita sudah ada sumber air mentah baharu dari Sungai Klang yang kini kualitinya makin baik,” katanya.

Sebelum ini Amirudin berkata dijangka siap 2026, pembinaan LRA Sungai Rasau menjadi loji paling besar dan termaju di Asia Tenggara dengan kemampuan menghasilkan bekalan air bersih sebanyak 1,400 juta liter sehari (JLH).

Katanya projek jangka panjang itu berupaya meningkatkan margin rizab air terutamanya untuk pengguna di wilayah Klang, Petaling dan Kuala Langat.

 

 


Pengarang :