BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

LUAS pantau 24 jam, atasi risiko 175 gangguan bekalan air

Tiga tahun selepas pelaksanaannya, Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) terbukti berjaya menangani pencemaran sungai, sekali gus mengelak henti tugas loji rawatan air (LRA).

Keberkesanan inisiatif Kerajaan Selangor itu mengurangkan gangguan bekalan air bersih ke rumah penduduk, khususnya Lembah Klang.

SJAM diperkenal menerusi Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober 2020 melibatkan inisiatif rondaan dan pemantauan proaktif 24 jam digerakkan Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Skuad pantas LUAS berjaya menangani pencemaran dikategori kod kuning. Bilangan pencemaran diatasi pada 2021 sebanyak 58 kes, 2022 (63 kes) dan 2023 (49 kes). Dua bulan pertama tahun ini kes pencemaran kod kuning diatasi ialah lima kes.

Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian pensampelan di jambatan Sungai Pajam pada 2 Disember 2022 bagi mengatasi masalah pencemaran air di Sungai Semenyih. Foto Facebook LUAS

Angka itu berbeza berbanding tempoh 2019 hingga 2020 yang menyaksikan hanya 21 insiden pencemaran kod kuning dibendung.

Kod kuning merujuk pencemaran dikesan atau ditangani tanpa henti tugas LRA.

“Peningkatan jumlah kod kuning kerana rondaan dan pemantauan proaktif digerakkan Skuad Pantas LUAS yang diaktifkan sejak awal 2021 meliputi lebih banyak lokasi dan kawasan yang dikenal pasti berpotensi merisikokan sumber air.

“Tindakan pemantauan sebagai langkah pencegahan berjaya mengenal pasti dan menangani potensi-potensi pencemaran sumber air di peringkat awal,” kata LUAS kepada Selangorkini pada 20 Februari.

Pada masa sama, insiden pencemaran babitkan kod merah iaitu LRA dihenti tugas, direkodkan semakin menurun ketara.

Sebelum pemantauan aktif skuad pantas LUAS, sebanyak 29 kes pencemaran menyebabkan gangguan bekalan air direkod dari 2018 hingga 2020.

Hasil pemantauan ketat pasukan berkenaan, jumlah henti tugas LRA turun mendadak apabila hanya dua kes direkodkan pada 2021, empat (2022), enam (2023) dan tiada kes direkodkan tahun ini sehingga 21 Februari.

Mengikut LUAS, antara punca berlaku kod merah disebabkan faktor luar kawalan seperti tanah runtuh dan fenomena kepala air. Pada masa sama, kemalangan di lebuh raya juga menjadi penyebab.

“Namun rekod kod merah ini masih lebih rendah berbanding kod kuning. Insiden-insiden tersebut berjaya ditangani sekurang-kurangnya dalam tempoh empat jam bagi meminimumkan dampak kepada LRA,” tambah LUAS.

Selain rondaan 24 jam di lembangan Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Klang, SJAM juga memanfaatkan dron berteknologi tinggi bagi menganalisis air, mengawal lokasi sumber air dan menempatkan sistem amaran awal.

Inisiatif SJAM diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu juga meliputi pendekatan biologi dengan meletakkan bahan nanoteknologi dan kaedah fizikal seperti sistem rawatan air mentah (RWTS) bagi memastikan kualiti air sentiasa terjamin.

Selain kualiti air Sungai Gong capai peningkatan baik hasil rawatan berkenaan pada April tahun lalu, Sungai Sembah juga direkodkan semakin bersih pada tahun ini.

Sungai Gong dan Sungai Sembah di Gombak antara anak Sungai Selangor yang membekal air mentah untuk sebahagian penduduk Lembah Klang.

“Kualiti air di kawasan sungai berkenaan mencatat peningkatan baik susulan penghasilan air beroksigen semula jadi melalui projek RWTS dilaksana Kerajaan Negeri.”

Selain itu, Pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 juga dibuat bagi meningkatkan bayaran denda atas kesalahan pencemaran air.

Susulan itu pada 9 November 2020, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan enakmen iaitu mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori, sita tanpa waran, ganti rugi dan denda maksimum RM1 juta.

Inisiatif SJAM lain ialah pembinaan infrastruktur pengepaman terus dari kolam takungan Sungai Selangor yang siap tahun ini.


Pengarang :