EXCO Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi selepas menerima lawatan kerja ke Konsulat Malaysia di Songkhla sempena program Silang Budaya Selangor-Thailand 2024 pada 5 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor, Thailand jalin kerjasama anjur festival makanan, budaya

SONGHKLA, 5 OGOS: Kerajaan Negeri Selangor dan Thailand sedia mengukuhkan lagi kerjasama diplomasi festival makanan serta budaya antara kedua-dua pihak sempena tahun melawat negeri itu pada 2025.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah berkata ia antara usaha berterusan dalam mengetengahkan identiti negeri itu agar terus dikenali di samping menjana pendapatan pemain industri pelancongan.

“…menerusi usaha ini, kita boleh bawa makanan seperti nasi ambeng, punten dan sate yang menjadi identiti negeri ini. Mudah-mudahan ia dapat memperkenal Selangor di Thailand.

“Kita juga akan mempamerkan pelbagai produk usahawan tempatan seperti kopi dan kerepek yang mungkin tidak ada di Thailand sekali gus membantu meningkatkan sektor pelancongan serta budaya untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Konsulat Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi yang dalam lawatan kerja lima hari di sini sempena program Silang Budaya Selangor dan Thailand 2024 hari ini.

Silang Budaya adalah program tahunan yang bermula tahun lepas yang membabitkan lawatan kerja ke negara anggota ASEAN terpilih bagi memperkenal dan mempromosi seni serta budaya Selangor di peringkat antarabangsa.

Tahun ini, program itu berlangsung di Thailand khususnya Wilayah Songkhla, Pattani dan Narathiwat bagi mengeratkan jalinan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak menerusi pemerkasaan budaya, seni serta warisan.

Borhan berkata pihaknya turut merancang pelaksanaan program pertukaran penuntut universiti di Selangor dan Thailand bagi memupuk persefahaman kebudayaan pada masa depan.

“Generasi muda atau pelajar perlu didedahkan dengan pengetahuan kelebihan sesuatu negeri atau negara… dan kita akan berbincang dengan pihak atasan tentang mekanisme yang sesuai bagi tujuan itu,” katanya.

Ahmad Fahmi pula berkata pihaknya menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang disifatkan tepat pada masanya.

“Program ini bagus kerana Malaysia, khususnya di Selangor, mempunyai pelbagai tarikan yang mungkin pelancong Thailand kurang menyedarinya,” kata beliau.

— BERNAMA


Pengarang :