Keadaan gelanggang acara Pencak Silat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Bandaraya Miri
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA Hari Ke-12: Pencak silat wanita sumbang emas ke-51 buat Selangor

SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak 82 pingat emas dipertandingkan pada hari ke-12 Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, hari ini yang juga jumlah tertinggi ditawarkan dalam satu hari bagi SUKMA 2024.

Selangor menyasar memperoleh lima emas menerusi acara angkat berat, pencak silat, Kabbadi berpasukan lelaki, bola tampar berpasukan lelaki serta e-sport berpasukan lelaki.

Selain itu tumpuan turut diberikan dalam aksi final bola sepak wanita antara Sabah dan Selangor yang ditangguhkan semalam kerana hujan lebat. Perlawanan itu akan diadakan di Stadium Negeri Kuching pada 4.15 petang ini.

Setakat 12 tengah malam tadi, Selangor berada di tangga ketiga carta keseluruhan pingat SUKMA 2024 dengan 40 emas, 48 perak dan 35 gangsa. Jumlah keseluruhan 123 pingat.

Berikut perkembangan semasa SUKMA Sarawak hari ini:

10 malam: Atlet beregu lelaki Kavin Mohan-Uzair Shahar menyumbang pingat perak buat Selangor dalam acara catur. Pulau Pinang menang emas dan gangsa milik pasangan regu Kelantan

9.45 malam: Gandingan Aliyah Diyanah Insyirah Mohd Faizullah-Ava Arabella Sheikh Abdullah Munshee meraih pingat perak acara catur berpasukan wanita

9 malam: Farra Irdina Mohd Zairi menyumbang emas ke-51 buat Selangor selepas menang acara pencak silat wanita bawah 45kg

8 malam: Pasukan renang Selangor menyumbang perak acara 4×100 meter(m) rampaian wanita dengan 4:21.93 saat(s) dalam aksi di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya.

Jie Xin Rainne Foo, Sue Enn Khoo, Shun Qi Lim dan Zi Xian Khew turut memperbaiki rekod Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 yang dipegang Wilayah Persekutuan (4:23.17s).

Emas acara itu milik Wilayah Persekutuan dengan 4:19.79s manakala Pulau Pinang yang merekodkan 4:30.62s (gangsa).

Jie Xin Rainne Foo, Sue Enn Khoo, Shun Qi Lim dan Zi Xian Khew

7.15 malam: Kuartet renang Selangor meraih emas acara 4×100 meter(m) rampaian lelaki dengan mencatat 3:49.12 saat(s) dalam aksi di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya sebentar tadi.

Pencabar terdekat Wilayah Persekutuan memperoleh perak manakala Pulau Pinang (gangsa).

7 malam: Kuartet renang Selangor menghadiahkan pingat perak menerusi Teoh Kar Chuan yang beraksi dalam acara 100 meter(m) kuak lentang individu lelaki sebentar tadi dengan merekodkan 59.06 saat(s).

Perenang tuan rumah Hii Puong Wei mengungguli saingan yang berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching dengan 57.87s manakala atlet Wilayah Persekutuan David Lee Boon (gangsa).

6.30 petang: Selangor meraih pingat emas menerusi saingan bola sepak akhir wanita selepas menewaskan Sabah 3-1 di Stadium Negeri, sebentar tadi. Sekali gus menyumbang emas ke-49 buat Selangor

6 petang: Perenang Selangor Jayden Goh Li Jie mengakhiri saingan 800 meter(m) gaya bebas individu lelaki dengan catatan 8:37.31 saat(s) untuk pingat gangsa.

Jaguh renang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry sukar digugat apabila meraih emas dengan catatan 8:14.58s sementara Lee Anselm Jun dari Melaka (perak).

Perenang Selangor Jayden Goh Li Jie

5.45 petang: Bola keranjang lelaki tewaskan Johor dengan mata 21-8, sekali gus meraih emas ke-48 buat Selangor

5.30 petang: Pasukan bola keranjang wanita meraih emas selepas menewaskan Johor dengan mata 21-11 di Stadium MBKS, Pending

5 petang: Futsal lelaki Selangor sumbang emas ke-46 buat Selangor selepas menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Tertutup Kota Samarahan.

4.35 petang: Selangor berjaya memperolehi pingat emas menerusi Bola Tampar Lelaki menewaskan Wilayah Persekutuan (25-14, 25-22, 25-17)

4.20 petang: Atlet angkat berat Selangor Nur Ellyana Maisarah Norazman meraih emas kategori wanita tidak melebihi 76 kilogram menewaskan atlet dari Kelantan, Pahang, Sarawak dan Melaka.

4 petang: Pemanah Wilayah Persekutuan Arlia Nur Falisha Mohamad Zairi raih pingat emas recurve individu wanita

3 petang: Dua atlet silat Selangor masing-masing meraih pingat gangsa acara silat tanding di Stadium Bandaraya, Miri. Muhammad Fahrin Iskandar Zulkifli menewaskan wakil Pahang dalam kategori Lelaki Kelas J 90 kg – 95 kg manakala Muhammad Azmeer Daniel Iz Samsudin mengalahkan pesilat dari Wilayah Persekutuan Megat Razman Abd Rahman @ Ab Rahman kategori Lelaki Kelas I 85 kg – 90 kg.

2.30 petang: Jo Leen Saw dan Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman raih emas acara tenis beregu wanita di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Kuching. Beregu Selangor itu menewaskan pasangan tuan rumah, 2-0.

12.15 tengah hari: Trio recurve Sarawak raih pingat emas acara berpasukan lelaki tewaskan Pahang 5-1

11.30 pagi: Wilayah Persekutuan raih emas bola jaring, tewaskan Kedah 60-37 pada perlawanan akhir

11.10 pagi: Muhammad Izzan dari Terengganu raih emas angkat berat kategori 96 kilogram, pecah rekod kebangsaan dengan angkatan 313kg

11.05 pagi: Pasukan bola tampar wanita Selangor raih perak selepas tewas dengan Sarawak 1-3 di pentas akhir.

11.01 pagi: Pelari wanita Selangor berjaya raih pingat emas dalam acara 4x100m lari berganti-ganti, 47.97s. Kemenangan ini membolehkan salah seorang pelari Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal meraih emas ketiganya selepas acara 100m dan 200m.

Detik kegembiraan kuartet Selangor setelah berjaya memenangi pingat emas acara 4x100m kategori lelaki dan wanita di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024. Foto: Fitri Hazim Hazam/Media Selangor.

11 pagi: Pelari lelaki Selangor berjaya raih pingat emas dalam acara 4x100m lari berganti-ganti, 40.86s.

10.30 pagi: Pasukan memanah kategori Recurve Wanita Selangor meraih pingat perak selepas tewas kepada Kedah di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya.

Atlet pemanah Selangor Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli, 18, beraksi dalam acara memanah recurve wanita berpasukan dan meraih pingat perak ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

10.15 pagi: Atlet kebangsaan Umar Osman rangkul pingat emas keempat, pecah rekod SUKMA acara 800m lelaki dengan catatan masa 1:51.19 saat.

9.50 pagi: Atlet Negeri Sembilan Yee Zhi Xin raih emas acara 20,000m lumba jalan kaki wanita, cipta rekod temasya 2 jam 5 minit 47.02 saat.

9.30 pagi: Pasukan Kabbadi lelaki bertemu Perak pada separuh akhir berpasukan di Dewan Masyarakat Lundu 10 pagi ini manakala Nur Ellyana Maisarah Norazman, 19, beraksi pada peringkat akhir angkat berat wanita di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, 2.30 petang ini.

 

 

 

 


Pengarang :