AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA Hari Ke-8: Atlet renang Andrew Goh raih emas kesepuluh Selangor

SHAH ALAM, 19 OGOS: Selangor menyasar meraih lapan lagi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang memasuki hari kelapan hari ini.

Berada di tangga kesembilan ketika ini dengan kutipan lima emas, 13 perak dan tujuh gangsa, Selangor yakin mampu menambah emas menerusi tenis berpasukan (8.30 pagi), lawan pedang (9 pagi) dan sofbol wanita (10.00 pagi).

Selain itu, skuasy campuran (12 tengah hari), kriket lelaki (2.30 petang), taekwando (4 petang), renang (5 petang) dan olahraga (5.30 petang).

Berikut perkembangan semasa SUKMA Sarawak hari ini:

10.30 malam: Henry Goh Li Hen, 18, perbaharui rekod peribadi acara 200 meter(m) gaya bebas dan 400m medley (rampaian) dengan mencatat 4:35.57 saat menerusi acara rampaian untuk merangkul pingat perak manakala gangsa 200m gaya bebas dengan catatan 1:54.23s.

9 malam: Selangor akan bertemu Pulau Pinang pada aksi separuh akhir futsal Rabu ini selepas kedua-duanya menundukkan lawan masing-masing di Stadium Tertutup Kota Samarahan.

Selangor menewaskan Melaka 6-3 manakala Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-3 ke atas Pahang menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 hingga tamat perlawanan.

8.40 malam: Skuad gimrama Wilayah Persekutuan mengekalkan status sebagai kuasa besar sukan itu apabila menyapu bersih semua enam pingat emas di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Selepas menyambar satu emas dan satu perak dalam acara all-around individu semalam, pasukan itu menambah koleksi pingat dengan lima emas dan dua perak hari ini.

8.10 malam: Kecederaan tulang belakang tidak menghalang Mohammad Izzul Haniff Mohd Raffi meraih pingat perak untuk Selangor dalam acara lompat kijang di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini.

Mohammad Izzul Haniff Mohd Raffi meraih pingat perak untuk Selangor dalam acara lompat kijang di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 19 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR

7.53 malam: Selangor terkandas di suku akhir bola sepak lelaki, tewas 1-3 kepada Terengganu

7.40 malam: Skuad badminton Selangor dan Wilayah Persekutuan bertemu di pentas akhir berpasukan campuran setelah menewaskan lawan masing-masing di saingan suku akhir  yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu.

Selangor dan Wilayah Persekutuan masing-masing menewaskan Sarawak dan Pulau Pinang 3-0.

7.14 malam: Pemenang pingat emas acara 100 meter (m) Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal tekad memecahkan rekod temasya acara lumba lari 200m di Stadium Sarawak, Petra Jaya, esok.

6.50 petang: Selepas meraih gangsa acara 200 meter(m) gaya bebas lelaki, Henry Goh Li Hen menghadiahkan satu lagi pingat perak buat kontinjen Selangor menerusi 400m medley individu dengan catatan masa 4:35.57.

6.45 petang: Satu lagi pingat perak hadir dari Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching menerusi acara 400 meter medley individu wanita.

Jia Jia Yoong menamatkan aksi dengan catatan masa 5:12.8 di belakang pemenang pingat emas Yao Kelly Teo dari Sarawak.

6.38 petang: Atlet renang Selangor Khar Chuan Teoh menyumbang pingat perak menerusi acara 50 meter kuak lentang lelaki dengan mencatat masa 27.32 saat.

Rakan sepasukannya Yew Jien Loke terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima pada aksi akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya.

6.30 petang: Skuad Wilayah Persekutuan sapu bersih semua lima pingat emas pada hari terakhir acara gimrama.

5.44 petang: Perenang Khew Zi Xian menghadiahkan pingat perak buat Selangor menerusi acara 200 meter gaya bebas wanita dengan catatan masa 2:07.13.

5.39 petang: Atlet lompat kijang lelaki Selangor Mohammad Izzul Haniff Mohd Raffi meraih pingat perak dengan lompatan sejauh 14.96 meter.

Pingat emas dimenangi atlet Perak Mohd Shah Sholihin Azshar dengan lompatan 15.41 meter manakala gangsa atlet Sabah Elhor Gotuoh dengan catatan 14.71 meter.

5.27 petang: Atlet renang Selangor Andrew Goh menepati ramalan meraih emas kesepuluh acara 100 meter kuak dada dengan catatan masa 1:01.39 sekali gus perbaharui rekod kebangsaan.

Atlet renang Selangor Andrew Goh (tengah) meraih emas kesepuluh Selangor dalam acara 100 meter kuak dada dengan catatan masa 1:01.39 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

5.20 petang: Atlet renang Selangor Jayden Goh Li Jie dan Henry Goh Li Hen masing-masing menyumbang pingat perak serta gangsa pada pusingan akhir acara 200 meter(m) gaya bebas lelaki.

Dalam aksi di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, Jayden Goh mencatat masa 1:52.55 manakala Henry Goh 1:54.23. Emas menjadi milik perenang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

5.17 petang: Atlet olahraga Selangor, Esther Joy Hong Li Chen meraih emas kesembilan dalam acara 5000 meter wanita.

5.00 petang: Atlet olahraga 100 meter lelaki, Danish Irfan Tamrin dan acara karate kumite berpasukan lelaki sumbang perak kepada Selangor.

Manakala atlet boling padang, Yu Shern Heng menyumbang gangsa dalam acara foil individu lelaki.

Atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal memenangi pingat emas acara lumba lari 200m wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 September 2022. Foto Facebook MSN SELANGOR

4.45 petang: Acara boling padang, kumite berpasukan wanita dan atlet 100 meter wanita, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal menyumbang tiga emas kepada Selangor.

4.00 petang: Walaupun cedera ketika sesi latihan namun pelumba berbasikal BMX Negeri Sembilan Nur Adriana Sofea Abdul Hakim, 18, berjaya meraih pingat emas acara BMX wanita.

3.33 petang: Atlet taekwando Selangor, Nurul Aesyah memenangi pingat perak menerusi acara kyorugi heavy weight wanita yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kompleks Sukan Petra Jaya.

Foto Facebook MSN Selangor

3.15 petang: Pasukan tenis Selangor meraih pingat gangsa bagi acara berpasukan campuran yang berlangsung di SLTA Tenis Court, Kuching.

3.00 petang: Beregu campuran Selangor mengalahkan Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan suku akhir badminton, manakala Wilayah Persekutuan menewaskan Johor 3-2 dan Sarawak menumpaskan Perak 3-1

2.35 petang: Gandingan Harold Rynes Aloysius dan Erwin Kros Christopher mara ke separuh akhir acara skuasy beregu lelaki, tundukkan Shauqi Haliim dan Fayyad Hashim dari Kedah.

Pada aksi suku akhir di Pusat Skuasy Sarawak, Harold dan Erwin menang 11-9, 11-4 dalam pertarungan selama 20 minit.

Atlet Skuasy Selangor, Harold Rynes Aloysius (kanan) beraksi ketika suku akhir skuasy beregu lelaki menentang beregu Kedah. Harold Rynes Aloysius bersama regunya Erwin Kros Christopher mara ke separuh akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menundukkan Shauqi Haliim dan Fayyad Hashim dari Kedah di Pusat Squash Sarawak, Kuching pada 19 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

2.20 petang: Perak membenam Terengganu 8-2 dalam aksi suku akhir futsal, sementara tuan rumah, Sarawak mengalahkan Wilayah Persekutuan 3-1

1.30 tengah hari: Sabah meraih dua pingat, emas dan gangsa dalam acara lompat tinggi wanita menerusi Ku Yee Aleng dan Nolaeska Kipolos, sementara pemain Pulau Pinang, Melissa Choong En Xuan di kedudukan kedua.

11.30 pagi: Jing Yi Tan meraih pingat perak acara rejam lembing dengan keputusan 54.03, emas milik atlet Wilayah Persekutuan Wei Jun Cheah (56.53) sementara gangsa diraih atlet Johor Mohd Noor Iman Norman (53.36).

9.40 pagi: C Teban Raj menghadiahkan gangsa kepada kontinjen Selangor menerusi acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki. Johan acara berkenaan milik Atlet Wilayah Persekutuan Khor Jing Hong sementara perak Sriven Tan dari Pulau Pinang.

Jing Hong yang membuat penampilan pertamanya mencipta rekod baharu temasya selepas mencatatkan 1’34:38.20s sekali gus memadam rekod lama berusia 20 tahun milik Thiyagu Manoharan dari Perak yang mencatat 1’34:56.10s pada edisi 2004 di Negeri Sembilan.

Atlet Wilayah Persekutuan Khor Jing Hong raih emas acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak pada 19 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA

 

 


Pengarang :