Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Penyerahan Insentif Khas Aidilfitri kepada Penggerak Masjid Selangor di Dewan Jamuan Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Erat ukhuwah, kekalkan kesederhanaan dan pelihara kebersamaan

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

Ramadan yang berlalu membawa seribu satu makna kepada para umat Islam. Masing-masing mencari Lailatul Qadr dan melaksanakan pelbagai kebajikan dalam mengejar Mardhatillah.

Seperti yang kita lihat dalam Surah Fussilat ayat 53, para umat Islam sentiasa diingati tanda-tanda kekuasaan Allah SWT dan mengajak kita untuk sentiasa berpaksikan kepada kebenaran dan keilmuan, terutama pada waktu kita mungkin terpesong ataupun terkeluar daripada landasan kebenaran untuk menjadi manusia baik dalam masyarakat.

Alhamdulillah saya melihat kemakmuran dan kesederhanaan malam-malam terakhir Ramadan di masjid-masjid seluruh Selangor tatkala kita berada di ambang Syawal.

Bagi menyambut kemenangan yang ditandai dengan kepulangan kembali kepada fitrah, yakni maksud sebenar Aidilfitri, marilah kita semua meneruskan kerja baik yang dibajai pada bulan mulia yang lepas seperti menyantuni golongan fakir dan anak yatim serta yang kurang berkemampuan.

Kesederhanaan ini harus kita teruskan dan ditampilkan bukan sahaja melalui tindakan kita, tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran kita agar anak-anak kita turut mewarisi budaya dan akhlak yang serupa supaya dapat melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.

Manfaatkanlah sepenuhnya silaturrahim dan ukhuwah yang kita bina selama ini seperti yang dianjurkan agama. Kebersamaan inilah yang harus kita pelihara di Selangor, lebih-lebih lagi pada detik terdapat kelompok yang ingin menimbulkan keraguan ataupun kegusaran dalam kalangan kita hanya untuk agenda peribadi mereka.

Alhamdulillah, Selangor berjaya mencatatkan rekod kutipan hasil yang paling besar dalam sejarah pada 2024, iaitu sebanyak RM2.967 billion.

Di atas kejayaan prestasi pungutan hasil Kerajaan Negeri sepanjang pentadbiran ini serta dalam tiga bulan pertama tahun ini, saya telah mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor 2024, yang memberikan satu bulan setengah gaji kepada seramai 21,736 penjawat-penjawat awam negeri yang disalurkan pada 25 Mac dan 15 April, termasuk insentif RM500 kepada para penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Selangor.

Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua. Saya memohon ampun dan maaf setulus ikhlas atas sebarang kekurangan yang ada dan berazam untuk terus memberi khidmat yang terbaik buat semua. Taqaballallahu minna wa minkum.

DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor


Pengarang :