SELANGOR

Cadang SPRM laksana beberapa langkah tambahan selain IBR

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa langkah tambahan seperti menandatangani borang pengisytiharan kepentingan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, langkah itu lebih efektif selain menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilakukan agensi itu.

“Menandatangani IBR sahaja tidak mencukupi. Kami mencadangkan beberapa langkah tambahan di mana sebelum mesyuarat dimulakan, Exco Selangor perlu menandatangani borang pengisytiharan kepentingan.

“Perkara sama juga sudah diamalkan dalam syarikat milik kerajaan negeri. Kita tidak boleh mempunyai kepentingan sama ada diri sendiri atau keluarga dalam setiap kertas yang dibincangkan dalam mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri sudah menghantar surat rasmi dua bulan lalu berhubung dakwaan SPRM tentang keengganan Kerajaan Negeri menandatagani IBR, namun tiada maklum balas diterima sehingga kini.

“Saya dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Amin Ahmad Ahya bahawa surat sudah dihantar, tetapi SPRM tidak beri jawapan lagi.

“Saya turut akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah SPRM Selangor yang baharu, Datuk Alias Salim, dalam masa terdekat untuk berbincang dan menjelaskan kedudukan Kerajaan Negeri,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri dan SPRM sentiasa melihat ke hadapan dalam usaha membanteras rasuah serta menyokong langkah SPRM mewujudkan IBR.

=EZY=


Pengarang :