NASIONAL

GST dikutip bayar hutang negara hasil ketirisan Kerajaan BN

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 17 APR: Kerajaan Persekutuan didakwa melaksanakan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi membayar hutang berbilion ringgit ditanggung negara hasil ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehubungan itu Pakatan Harapan (PAKATAN) akan membatalkannya apabila berjaya mengambilalih pentadbiran negara di Putrajaya kerana ia membebankan semua khususnya rakyat.

“Kita tiada keperluan melaksanakan GST memandangkan keutamaan Kerajaan Persekutuan ialah menutup semua ruang ketirisan dan salah guna kuasa.

“Dilihat daripada laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, kebocoran berlaku membabitkan puluhan bilion ringgit dan kalau kita boleh mengatasi masalah ini maka kita boleh selamatkan wang rakyat dan tidak perlu membayar GST,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pecah tanah rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan jawapan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika sesi soal jawab di sidang Parlimen, kutipan GST didakwa bagi membayar hutang ditanggung negara.

“Faedah dibayar Kerajaan Persekutuan untuk membayar hutang negara ialah RM31 bilion.

“Ini bermakna GST dikutip sebenarnya untuk membayar hutang negara dan bukan bertujuan memberi balik kepada rakyat melalui projek pembangunan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, RM31 bilion bagi pembayaran faedah hutang negara adalah satu jumlah luar biasa dan ia perlu diperbetul dan diuruskan dengan lebih bertanggungjawab.

=EZY=


Pengarang :