NASIONAL

Ahli BN usia 92 tahun pun berebut kerusi PRU14 – Tun Dr Mahathir

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA 17 APR: Umno Barisan Nasional (Umno BN) berdepan kesukaran meletakkan calon-calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU14), ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli parti itu yang seusia dengannya juga melobi diri untuk menjadi calon.

“Saya dengar kata, BN ada masalah pembahagian kerusi PRU14. Mereka nak bagi peluang dekat orang lain, tetapi orang itu (calon lama) kata mereka masih kuat.

“Mereka kata kenapa orang berumur 93 tahun pun masih boleh bertanding, tetapi kami yang baru usia 92 tahun tak boleh bertanding?” sindirnya pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), petang ini.

Angka 93 tahun merujuk kepada umur bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu.

Mahathir ketika ini lantang mengkritik pentadbiran Umno BN dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan bersara daripada politik.

Pada PRU14 ini, Tun Mahathir mengumumkan dirinya bertanding di kubu kuat BN di Langkawi.

Namun kata Tun Mahathir, beliau bersedia untuk berdepan calon Umno di kawasan Parlimen itu.

“Di Langkawi, BN menang dengan jumlah 11,000 undi. Kita nak tengoklah kali ini berapa banyak mereka boleh dapat,” sindirnya.

=EZY=


Pengarang :