NASIONAL

Rakyat Malaysia perlu bangkit demi bantu Palestin- Duta Misi Gaza

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUN: Duta Misi Malaysia Ke Gaza, Dr Ahmad Sani Araby menggesa supaya rakyat Malaysia terus bangkit membantu penduduk Palestin yang kini sedang ‘tenat’ memerlukan bantuan.

Katanya, misi yang dijalankan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kali ini begitu penting buat penduduk Gaza yang sedang terkepung.

“MAPIM telah mengamanahkan saya sebagai duta dan menjadi wakil Malaysia tunggal bersama 18 lagi delegasi dari Eropah dan Timur Tengah.

“Setakat ini, kebenaran telah diterima dari kerajaan Mesir. Delegasi akan memasuki sempadan Rafah pada 6 Jun ini dan dijangka keluar pada 15 Jun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga Naib Presiden MAPIM memberitahu, MAPIM telahpun melancarkan Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza dan mensasarkan kutipan sebanyak RM1.5 juta sepanjang misi dijalankan.

“Sumbangan ini bagi memberi keperluan terdesak seperti ubatan, makanan, pendidikan, pengupayaan sektor sara diri kepada rakyat Gaza disamping bantuan kecemasan lain.

“Kini 80 peratus rakyat Gaza yang merangkumi 2 juta orang terpaksa bergantung kepada bantuan antarabangsa dan 65 peratus rakyatnya hidup dibawah kadar kemiskinan akibat perang,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berbuat demikian melalui akaun Maybank (562834636620), Tabung Kilat Bantuan Kemanusiaan Gaza, sebarang pertanyaan orang ramai bolehlah menghubungi whatapps 0174744030.


Pengarang :