SUKANKINI

Azlan Shah terlepas kejuaraan SuperSports 600CC Asia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Hasrat Azlan Shah Kamaruzaman mempertahankan gelaran keseluruhan keseluruhan SuperSports 600cc yang dimenangi pada musim lepas lebur selepas sekadar menduduki tempat kelima pada aksi Pusingan ke-6 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, semalam.

Keputusan itu menyaksikan mahkota kejuaraan menjadi milik pelumba Thailand, Ratthapong Wilairot.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu perlu memenangi Perlumbaan 2 untuk muncul juara keseluruhan bagaimanapun kecewa apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan masa keseluruhan 30’06.927s di belakang Ratthapong yang memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 30’00.360s sekaligus mengesahkan gelaran keseluruhan yang kali terakhir dimenangi pelumba Thailand melalui rakan sepasukan Ratthapong, Decha Kraisart pada tahun 2010.

“Minggu ini begitu mengecewakan saya. Saya mahu menamatkan musim terakhir dalam kategori ini di kedudukan teratas namun gagal.

“Saya sudah mencuba yang terbaik namun keupayaan jentera yang tidak berada pada tahap maksimum menyaksikan saya gagal untuk mengejar pelumba di hadapan.

“Bagaimanapun, musim ini sudah tamat dan saya perlu bersedia untuk musim 2019,” katanya yang akan beralih ke kategori ASB1000cc pada musim 2019.

Decha turut menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 30’00.701s diikuti rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira ketiga dengan masa 30’03.412s.

Kedudukan kelima menyaksikan Azlan menamatkan musim 2018 di kedudukan keempat keseluruhan dengan mengumpul 123 mata.

Ratthapong di kedudukan teratas dengan 141 mata diikuti Anthony West kedua, 136 mata manakala Yudhistira di kedudukan ketiga dengan 131 mata.

 

 

Keputusan SUPERSPORTS 600CC

1) Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM (30’00.360s)

2) Decha Kraisart (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM (30’00.701s)

3) Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing (30’03.412s)

4) Tomoyoshi Koyama (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing (30’03.412s)

5) Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing (30’06.927s)

 

Kedudukan Keseluruhan

1) Ratthapong Wilairot (THA) YAMAHA Thailand Racing TEAM 141 mata

2) Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 136 mata

3) Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 131 mata

4) Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 123 mata

5) Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team 117 mata

 

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan

1) Webike IKAZUCHI Racing 162 mata

2) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 162 mata

3) YAMAHA Thailand Racing TEAM 160 mata

4) Musashi Boon Siew Honda 144 mata

5) Yamaha Racing Asean 120 mata


Pengarang :