SELANGOR

Kuala Langat bakal miliki taman tema ala Hollywood

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 12 APR: Kuala Langat bakal menjadi destinasi percutian keluarga apabila tiga taman tema tersohor, Universal Studio, Fox World dan Disney World siap dibina nanti.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tiga taman tema itu dibina ekoran kawasannya yang strategik daripada sudut pembangunan di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah menerima beberapa permohonan daripada pemaju di sekitar sini bagi melaksanakan projek terbabit.

“Tiga taman tema itu bakal dibina di jajaran sebahagian Kota Kemuning sehingga berhampiran Sijangkang memandangkan ia antara kawasan pembangunan yang begitu pesat.

“Kuala Langat menerima pelbagai pembangunan baharu pada masa kini dan jika dilihat ia antara kawasan yang amat strategik untuk membangunkan taman tema,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Solat Jumaat, Masjid At-Taqwa, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikannya pagi tadi di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat.

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, Kuala Langat bakal menjadi destinasi percutian keluarga ekoran pembinaan taman tema terbabit.

Katanya, keseluruhan pelaburan itu membabitkan kos lebih RM15 bilion dengan keluasan melebihi 800 ekar.

“Saya amat optimis projek ini diluluskan Pihak Berkuasa Negeri supaya ia dapat menjadi mercu tanda paling gah di Kuala Langat satu hari nanti.

“Oleh itu, memang layak daerah Kuala Langat dipilih sebagai The Most Prefrered Destination for Investment by District 2017-2018 anjuran Invest Selangor sekali gus bersesuaian dengan status bakal dinaik taraf kepada perbandaran,” katanya.


Pengarang :