NASIONAL

MyCC kaji semula pasaran lima barangan makanan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menjalankan Kajian Semula Pasaran bagi sektor makanan selaras dengan Seksyen 11 Akta Persaingan 2010 (CA 2010) untuk memahami pasaran makanan dengan lebih mendalam.

Dalam kenyataan hari ini, MyCC berkata ia juga bagi menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup.

Kajian semula itu khususnya berkaitan lima barangan makanan terpilih iaitu kubis, sawi, daging lembu, ikan kembung dan susu tepung bayi.

Ia bertujuan menentukan sama ada terdapat apa-apa ciri atau gabungan ciri pasaran bagi barangan makanan terpilih berkenaan berkemungkinan mengakibatkan kegagalan pasaran atau menunjukkan tanda-tanda terdapatnya isu persaingan.

“Sebelum memuktamadkan laporan dapatannya, MyCC akan menjalankan beberapa siri seranta awam dan menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian bagi mengumpulkan pandangan, input dan idea mengenai kajian pasaran itu.

“MyCC kemudiannya akan menyiarkan laporan dapatan dan syornya, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12, CA 2010,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Ismail berkata hasil kajian pasaran itu adalah amat penting dan bermanfaat kepada semua pihak terutamanya pihak MyCC dan kerajaan dalam memahami pasaran makanan dan mengenal pasti sekiranya terdapat apa-apa amalan antipersaingan dalam pasaran tersebut.

“Oleh itu, kami amat mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak berkepentingan, khususnya perniagaan, pihak berkuasa awam berkaitan, persatuan dan juga pengguna. Hasil daripada sesi seranta awam itu akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum menyiarkan laporan akhir pada akhir Julai 2019,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :