BERITA UTAMA

Pencemaran berjaya ditangani, LRA mula beroperasi

SHAH ALAM, 20 JUL: Kesan pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 hingga 3 dan Rantau Panjang berjaya ditangani dan kesemua loji mula beroperasi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu dimaklumkan Air Selangor kepadanya kira-kira 1 pagi tadi.

“Air daripada loji sedang memenuhi kolam tadahan dan akan mula disalurkan kepada pengguna secepat mungkin.

“Maklumat lanjut berhubung kawasan yang akan mula menerima bekalan air akan dikeluarkan Air Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan ketiga-tiga LRA Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas ekoran pencemaran bau di sumber air mentah.

Ekoran itu, beberapa kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat dijangka terkesan dengan gangguan bekalan air serta tekanan rendah.

Sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 akaun pelanggan terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden berkenaan.


Pengarang :