PBTSELANGOR

MBSA terima penarafan lima bintang sempena SPB-PBT

SHAH ALAM, 20 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima penarafan lima bintang sempena Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2018.

Penyampaian anugerah disampaikan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han kepada Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, dengan markah 97.5 peratus melayakkan Pihak Berkuasa Tempatan itu menerima penarafan lima bintang

Katanya, penilaian SPB-PBT anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dinilai berdasarkan beberapa kriteria antaranya pengurusan organisasi, kewangan dan aset, pelaksanaan dasar pelesenan serta kawalan perniagaan.

“Selain itu, ia mengambil kira perancangan dan pengurusan landskap, pengurusan sisa pepejal, perkhidmatan barisan hadapan, penyertaan komuniti serta pandangan penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Shahrin berkata, MBSA berjaya merangkul Juara dan Inovasi Terbaik Kelas I National Innovation And Invention Competition Through Exhibition 2019.

“Ia bersempena Konvensyen Wilayah Team Excellence (Rtex) 2019 Wilayah Selatan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) bertempat di Ramada Plaza, Melaka pada 9 Julai lalu.

“Anugerah ini adalah kejayaan buat kali keempat melalui pasukan EX7 MBSA dengan membawakan projek ‘Penyelenggaraan Struktur Penutup Longkang yang Tidak Efektif’ pada pertandingan berkenaan,” katanya.

Katanya, MBSA sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik dan berusaha mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan berkesan kepada masyarakat.


Pengarang :