SELANGOR

Peserta berentap rebut RM3,000 di ‘PREC Beyblade Battle’

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kira-kira 400 peserta dijangka berentap dalam ‘PREC Beyblade Battle’ yang bakal berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, esok.

Acara anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dengan tajaan SACC Digital Planet melalui kerjasama Top Blader itu mempertaruhkan hadiah wang tunai dan set beyblade berjumlah hampir RM3,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pertandingan itu diwujudkan bagi menggalakkan ibu bapa dan kanak-kanak melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, ia juga bertujuan mengasah bakat kanak-kanak untuk bersaing secara sihat selain mengalihkan perhatian mereka daripada menonton televisyen dan bermain telefon pintar.

“Sebelum ini kami pernah mengadakan pertandingan beyblade sewaktu pelancaran SACC Walk Flea Market dan sambutan diterima amat memberangsangkan.

“Kami ingin meneruskan lagi acara beyblade ini bagi memberi peluang kepada kanak-kanak lain untuk mempamerkan aksi mereka di gelanggang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus SACC Digital Planet, Haris Morad berkata, pertandingan itu dilihat sebagai salah satu peluang untuk mempromosi kedainya.

“Kita menyediakan gelanggang terbuka untuk peserta berlatih atau ingin melakukan pra perlawanan di hadapan kedai kami yang terletak di aras LG, SACC Mall,” katanya.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan dalam permainan gasing moden berkenaaan iaitu Burst (4 hingga 12 tahun) dan (13 hingga 21 tahun) serta kategori Metal Fury (terbuka untuk semua peringkat umur).

Yuran penyertaan hanya RM5 dan ‘battle’ akan dimulakan pada‪ 11‬ pagi.

Sebarang pertanyaan berhubung program boleh terus menghubungi Rafiq (‪011-5646 2104‬ dan Syafiq (‪017-334 0554‬).


Pengarang :