Jentolak merobohkan kedai makan haram yang dibina atas tanah rizab kerajaan di Jalan Pekan Baru, Klang pada 30 Ogos 2019. Foto MPK
PBTSELANGOR

Kedai makan haram diroboh MPK

KLANG, 30 OGOS: Sebuah kedai makan haram yang dibina di Jalan Pekan Baru di sini dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk dijadikan tempat parkir kenderaan awam.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, premis menjual makanan itu degil walaupun sudah tiga notis dan peringatan dikeluarkan oleh MPK.

“Sebanyak tiga notis dan peringatan dikeluarkan oleh MPK termasuk notis pertama pada 24 Jun lalu di bawah Akta 133 dengan memberikan tempoh selama 14 hari untuk mengosongkan kawasan tersebut.

“Isu ini kemudian dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan dan Binaan Tanpa Izin kerana struktur premis tersebut jelas melanggar peraturan yang ditetapkan MPK,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Yasid berkata, selepas notis pertama gagal dipatuhi, MPK mengeluarkan surat peringatan pada 11 Julai lalu iaitu lanjutan selama tujuh hari lagi sebelum isu tersebut dibawa ke Mesyuarat Logistik.

“Pada 15 Ogos lalu, notis itu sekali lagi dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan dan Binaan Tanpa Izin sebelum keputusan meroboh premis dibuat selepas notis tamat tempoh 30 hari,” katanya.

Mohamad Yasid menolak dakwaan penguat kuasa MPK bertindak agresif dalam menangani hal itu.

Katanya, pihak MPK telah mengikut semua prosedur ditetapkan sebelum meroboh kedai tersebut.

“Secara jelas pemilik struktur itu melanggar peraturan dengan mendirikan binaan di atas rizab kerajaan.

“Pihak yang memanipulasi gerak kerja MPK adalah mereka yang tidak memahami undang-undang berkaitan pembinaan struktur, tanah rizab kerajaan dan prosedur memulakan sesuatu perniagaan di dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), ” katanya.


Pengarang :