AGENSISELANGOR

‘World Cleanup Day 2019’: KDEBWM kutip 751kg sampah

KUALA SELANGOR, 22 SEPT: Sebanyak 84 beg sampah seberat 751 kilogram berjaya dikutip sempena ‘World Cleanup Day 2019’ di Pantai Jeram anjuran KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di sini, semalam.

Ketua Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, program itu bertujuan memfokuskan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat bagi menangani masalah lambakan sisa pepejal di tempat awam dan rekreasi.

“Program yang diadakan serentak di seluruh dunia itu juga sempena Hari Pembersihan Pantai Sedunia yang jatuh pada tarikh sama pada tahun ini.

“Ia mendapat kerjasama Trash Hero Malaysia dan Reef Check Malaysia serta beberapa sukarelawan dari Taylor’s Lake Side University, Monash University Malaysia dan Sunway University,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Mahfuzah berkata, KDEBWM menyediakan tong Roll On Roll Off (RORO) di setiap lokasi terpilih di Selangor antaranya Pantai Acheh, Pantai Tanjung Piai, dan Pantai Jeram.

Katanya, tong itu bukan sahaja dapat memudahkan kerja kutipan sisa pepejal oleh sukarelawan, malah diharap dapat menampung kuantiti yang banyak terutama sampah pukal.

“KDEBWM sentiasa menyambut baik dan menyokong program seumpama ini yang memberi manfaat dalam penjagaan alam sekitar selari dengan objektif kami untuk menjadikan Selangor sebagai negeri bersih, aman dan sejahtera. Together We Keep Selangor Clean!,” katanya.

Seramai 18 juta sukarelawan dari 157 negara terbabit dalam program ‘World Cleanup Day’ pada tahun lalu dengan penyertaan 103,000 sukarelawan dari Malaysia.


Pengarang :