Khairuddin Othman (tengah, baris kedua) bergambar bersama penganjur dan peserta ketika Perasmian Kejohanan Badminton Beregu, Pesta Sukan Gen-S Pebt MPKj di Dewan Badminton Uptown Sport, Bangi pada 22 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Belanjawan 2020: Fokus sukan massa, infrastruktur, SUKMA

BANGI, 22 SEPT: Sukan massa, pembangunan infrastruktur sukan dan pencapaian kontinjen Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) antara fokus Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Selangor 2020.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, belanjawan itu selaras hasrat Kerajaan Negeri membabitkan lebih ramai golongan muda dalam sukan.

“Saya yakin belanjawan kali ini banyak menyumbang kepada pembangunan generasi muda negeri kita.

“Selain itu, ia selaras hasrat Dato’ Menteri Besar yang mahu Selangor terus unggul dalam SUKMA 2020 di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Kejohonan Badminton Beregu, Pesta Sukan Gen-S Penggiat Belia Tempatan Majlis Perbandaran Kajang di Dewan Badminton Uptown Sport Bangi di sini, hari ini.

Sebanyak 91 beregu lelaki dan 16 beregu wanita mengambil bahagian pada kejohanan badminton kalah mati itu.

Kejohanan terbuka kepada mereka berumur 15 hingga 30 tahun itu menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada juara, RM1,000 naib juara dan RM500 bagi tempat ketiga.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian, Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri akan menganjurkan kejohanan Piala Budak Kampung membabitkan sukan bola sepak dan bola jaring pada November ini.

Katanya, kejohanan itu diadakan bagi memberi peluang kepada remaja bawah 12 tahun dan bawah 16 tahun yang tidak berpeluang mewakili sekolah atau mana-mana kejohanan luar sekolah.

“Kita mahu lebih ramai terbabit dalam sukan kerana sukan adalah medium yang mampu menyatukan rakyat,” katanya.


Pengarang :