Dato’Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersalaman dengan peserta selepas Majlis Perasmian penutup Program Seminar Pendidikan Fatwa peringkat Negeri Selangor di Kompleks Islam Daerah, Gombak pada 26 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Seminar Pendidikan Fatwa medium masyarakat beri pandangan

GOMBAK, 26 NOV: Seminar Pendidikan Fatwa yang bakal diadakan di semua daerah di Selangor membuka ruang kepada orang ramai memberi cadangan dan mendengar penjelasan berkaitan fatwa serta hukum syarak yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Mufti Selangor, Dato’ Seri Mohd Tamyes Abdul Hamid berkata, seminar ini menjadi salah satu pendekatan yang pelbagai dan sentiasa dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Selangor.

“Kita mahu orang ramai atau peserta mengambil peluang pada seminar ini untuk berkongsi pandangan atau cadangan dalam perkara-perkara berbangkit.

“Dengan ini fungsi dan keperluan fatwa dapat difahami dan disebarluaskan ke peringkat akar umbi masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar itu, di Kompleks Islam Daerah Gombak, di sini.

Mohd Tamyes berkata, fungsi dan keperluan fatwa diperlukan untuk menjawab hukum- hakam yang tidak jelas berasaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qias.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berucap ketika Majlis Perasmian penutup Program Seminar Pendidikan Fatwa peringkat Negeri Selangor di Kompleks Islam Daerah, Gombak pada
26 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Katanya, ia menjadi keperluan untuk menjawab isu dan permasalahan baharu dalam penemuan teknologi serta ilmu moden yang perlu dilihat dalam konteks syariat.

“Fatwa dan ijtihad menjadi senjata yang kuat dalam usaha cendikiawan melebarkan dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam.

“Melalui fatwa juga, ahli fikir Islam boleh mencadangkan perundangan yang bertepatan dengan kehendak syariat,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 200 peserta mengambil bahagian pada seminar hari ini. Seminar ini akan diadakan di setiap daerah rentetan daripada Muzakarah Ahli Jawatankuasa Fatwa bersama Dato’ Menteri Besar yang diadakan pada 2 Julai lalu.


Pengarang :