Dato’Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian penutup Program Seminar Pendidikan Fatwa peringkat Negeri Selangor di Kompleks Islam Daerah, Gombak pada 26 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ambil pendekatan maslahah kekalkan keamanan

GOMBAK, 26 NOV: Kewujudan media sosial melangkaui sempadan di zaman era globalisasi ketika ini mengundang kekeliruan pemikiran umat Islam dalam pelbagai aspek sehingga lari dari fahaman dan ajaran Islam yang sebenar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu menyebabkan pihak kerajaan mengambil tindakan tegas bagi menangani perkara berkenaan.

Katanya, ini kerana masyarakat awam sekarang mempunyai akses yang sangat terbuka dan mudah terhadap pelbagai maklumat dan isu semasa khususnya berkaitan dengan isu agama.

“Sekarang zaman media sosial, semua orang boleh bercakap tentang agama di masjid atau di mana-mana sahaja, orang lain pula rakam.

“Sebaran ini menyebabkan pemahaman orang menjadi lain, sebab itu jika kita tidak menguasai asas penolakan, pemimpin masyarakat tidak mampu membendung kegelisahan ini.

“Malah, anak-anak muda semakin berani mengambil tindakan lain yang lebih ekstrem,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Selangor Peringkat Daerah Gombak, di Kompleks Islam, di sini.

Amirudin berkata, sesuatu dakyah yang tidak benar mudah tersebar dan disebarkan kepada umum mengundang kekeliruan dalam masyarakat sehingga membawa impak yang tidak baik, sekali gus membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Bukan mudah untuk kerajaan ambil tindakan tetapi kita perlu kerana menjadi tanggungjawab kita semua.

“Jika ada perkara yang membimbangkan ia boleh dibincangkan secara dalaman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Selangor mengambil pendekatan maslahah untuk terus mengekalkan keamanan dan keharmonian umat Islam di negeri ini.

“Dalam negeri, kenapa tindakan diambil? Langkah demokrasi? Negara lain juga buat begitu? Maslahah akan dipertahankan jika tidak ia akan berkecamuk.

“Cukuplah Islam bergaduh kerana politik, perniagaan atau persatuan dan jika bergaduh kerana agama tentunya ia tidak baik,” katanya.


Pengarang :