SHAH ALAM, 18 DIS: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan anak syarikatnya, Park Here Sdn Bhd (PHSB) bakal menganjurkan pertandingan basikal tolak (pushbike) di SACC Mall di sini pada Sabtu ini.
Dua kategori dipertandingkan bagi lelaki dan perempuan iaitu terbuka berusia empat hingga tujuh tahun manakala campuran (dua hingga lima tahun). Yuran penyertaan masing-masing RM30 dan acara itu dimulakan pada jam 10 pagi hingga 7 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, acara itu diadakan kerana aktiviti basikal tolak semakin menjadi kegilaan kanak-kanak termasuk yang berusia seawal 18 bulan.
“Acara yang diadakan di tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan adalah salah satu teras khidmat sosial PREC bagi memberi pendedahan aktiviti sihat kepada kanak-kanak di sekitar Shah Alam sekali gus mengurangkan masa mereka bersama gajet,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, dengan adanya acara ini, ibu bapa juga berpeluang meluangkan masa bersama anak dengan melakukan aktiviti sihat sekali gus menggilap bakat terpendam seperti kemahiran mengimbangi badan dengan lebih mudah.
Pemenang akan mambawa pulang trofi manakala pelumba basikal tolak yang berjaya menamatkan perlumbaan akan diberikan pingat ‘finisher’.
Pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah antaranya pushbike Strider Sport, pushbike Bike8, pushbike Hotaru, pushbike XB dan aksesori basikal tolak.
Sementara itu, Pengurus Kanan PHSB, Mohd Ardisham Mohamad Shahir berkata, pihaknya juga akan memberi pelbagai baucar cuci kereta di aras LG pusat beli-belah berkenaan.
“Antara baucar menarik adalah cecair mengilap kereta bernilai RM30 (harga asal RM45), baucar RM10 untuk pembelian servis RM50 dan ke atas serta parking percuma” katanya.
Pertandingan itu turut mendapat kerjasama daripada Push Bike Pro Malaysia dan Ruumi Bass serta disokong oleh Bike8, Hotaru, Tuning Kids, Customhype, Parents and Children Online (PCO) dan XB Pro.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung pendaftaran `SACC Mall Pushbike Fun Race’ orang ramai boleh menghubungi 011-2476 5190.